Wisma Putra luluskan misi kemanusiaan Ebit Liew ke Palestin

Lima kawasan penempatan penduduk di Semenanjung Gaza dibedil serentak tentera udara rejim Zionis Israel. Gambar Twitter

Kementerian Luar Negeri memberikan kelulusan perjalanan kepada pendakwah terkenal Ustaz Ebit Lew untuk menjalankan misi kemanusiaan ke Palestin dan ia tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) semasa.

Timbalan Menteri Luar Datuk Kamarudin Jaffar berkata Wisma Putra menerima makluman daripada Ebit Lew hari ini bagi memaklumkan misi kemanusiaan itu yang dijadual bermula hari ini hingga 30 Mei.

“Misi kemanusiaan ke Mesir ini bertujuan memberikan sumbangan kepada rakyat Palestin yang telah terkesan teruk ekoran serangan rejim Israel ke atas Gaza. Urusan yang melibatkan misi tersebut telah dirancang oleh delegasi Ustaz Ebit Lew secara terus dengan rakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berada di Mesir.

“Segala persiapan dan persediaan dilakukan oleh pihak Ustaz Ebit Lew sendiri, menerusi kerjasama rapat dengan rakan NGO di Mesir,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata walaupun misi itu adalah inisiatif sendiri, delegasi Ebit Lew dinasihatkan agar sentiasa berhubung, bekerjasama dan mendengar setiap arahan keselamatan daripada pihak Kedutaan Besar Malaysia di Mesir.

“Selain itu, segala peraturan, prosedur dan arahan keselamatan yang ditetapkan oleh negara tuan rumah juga mesti dipatuhi. Ini penting terutamanya demi memastikan keselamatan Ustaz Ebit Lew dan delegasi beliau sepanjang di perantauan kelak,” katanya.

Beliau turut mengingatkan delegasi itu untuk turut mematuhi semua SOP dalam negara yang sedang berkuat kuasa apabila kembali ke Malaysia.

Kamarudin berkata secara dasarnya, kementerian itu menyokong penuh usaha delegasi Ebit Lew dan sentiasa mengalu-alukan rakan NGO yang lain untuk turut menggerakkan pelbagai usaha bagi membantu rakyat Palestin termasuk mewujudkan tabung-tabung bagi mengumpul dana bantuan kemanusiaan.

“Dalam perkara ini, sekiranya diperlukan kementerian boleh membantu untuk menyalurkan dana yang telah selesai dikumpul oleh NGO ini kepada pihak berwajib di Palestin melalui Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) di bawah seliaan Kementerian Luar Negeri.

“Dalam pada itu, saya juga ingin memaklumkan, selain membantu memudahkan usaha NGO, kerajaan juga melalui Kementerian Luar Negeri akan terus menggerakkan usaha bantuan kemanusiaan untuk rakyat Palestin,” katanya.

POPULAR