Wayang UMNO kata keputusan PM isu RM10k KWSP dibuat tanpa rela

UMNO tidak perlu bermain wayang dengan mengatakan keputusan Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak membenarkan pengeluaran i-Citra RM10,000 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dibuat ‘tanpa rela’

Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Ahmad Fadhli Shaari berkata UMNO perlu mengakui hakikat bahawa PM yang datang daripada parti itu sendiri yang tidak bersedia melaksanakan keputusan itu.

“Perdana Menteri sendiri menyatakan bahawa kerajaan tiada hasrat untuk membenarkan pengeluaran i-Citra KWSP kali kedua. Bagaimana ada sebahagian pemimpin UMNO berkeras menyebut ia keputusan ‘tanpa rela’ Perdana Menteri?

“Akuilah hakikatnya Perdana Menteri dari UMNO sendiri sebenarnya tidak bersedia laksanakan keputusan ini. Kenapa masih bermain wayang?

“Beri ruang selesa kepada PM untuk buat pertimbangan berasaskan kemampuan kerajaan. Janganlah perlekehkan Perdana Menteri dari parti sendiri seolah-olah jadi ‘puppet’ semata-mata,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahli Parlimen Pasir Mas yang juga Ketua Pemuda PAS Pusat itu berkata beliau sendiri menyokong sekiranya kerajaan membenarkan pengeluaran RM10,000 itu, khususnya kepada pencarum yang terjejas.

Namun, apa yang menjadi isu, katanya ialah kenapa PM daripada UMNO masih tidak membenarkan pengeluaran caruman RM10,000 itu.

“Bukankah sebahagian pemimpin UMNO sendiri yang putuskan bahawa ia wajib diberikan kepada pencarum yang terdesak? Itu yang saya tanya dalam ceramah di Johor dua hari lepas.

“Datanglah jawapannya, bahawa Perdana Menteri mahu laksanakan, tetapi Menteri Kewangan tidak mahu. Ia boleh sahaja dihujahkan sebenarnya, wujudkah arahan Perdana Menteri itu.

“Tetapi tak apalah kita terima dulu hujah ini bahawa Perdana Menteri memang mahukan pengeluaran I-Citra ini selaras tuntutan beberapa pemimpin UMNO, tetapi Menteri Kewangan yang enggan,” katanya.

Sebaliknya, Ahmad Fadhli merujuk kepada kenyataan Pengarah Ekonomi Pejabat PM Shahril Hamdan berhubung pengeluaran caruman RM10,000 KWSP itu.

“Tapi apa cerita pula dengan kenyataan Pengarah Ekonomi Pejabat Perdana Menteri ini? Bukankah saudara Shahril Hamdan ini juga merupakan Ketua Penerangan UMNO?

“Ooo, ada lagi naratif, kenyataan ini tidak mewakili UMNO. Baiklah, jadi mewakili siapa? Bukankah ia mewakili polisi ekonomi Perdana Menteri? Dan jika seorang Ketua Penerangan parti tidak mewakili parti, siapa lagi yang layak mewakili parti bercakap soal dasar?

“Anda berkata bahawa oo Perdana Menteri tidak boleh mengawal Menteri Kewangan? Jadi adakah seorang Presiden Parti juga tidak boleh mengawal Ketua Penerangannya sendiri?,” katanya.

Ahmad Fadhli berkata hakikatnya, pemimpin UMNOI sendiri tidak sependapat dalam isu pengeluaran RM10,000 itu, sebaliknya isu berkenaan digunakan untuk menyatakan bahawa UMNO pembela rakyat, sedangkan PM dan kerajaan sepatutnya diberi ruang untuk mengkaji dan memutuskan dasar-dasarnya.

BERITA BERKAIT
POPULAR