Wayang Najib cuba kaitkan PM8 dengan saman sivil 1MDB AS$681j

Najib Razak hari ini mempertikaikan sama ada Kabinet meluluskan jaminan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) akan membayar sebarang ganti rugi sekiranya syarikat itu kalah dalam saman sivil berkaitan aset bernilai AS$681 juta.

Ini kerana, kata bekas Perdana Menteri itu, 1MDB berada di bawah kawalan Kementerian Kewangan dan jaminan itu adalah satu bentuk jaminan kerajaan.

“Paling menarik ialah semasa 1MDB memohon mahkamah hadkan pengeluaran wang dari akaun saya, syarikat itu telah memberi jaminan (undertaking) kepada pesuruhjaya kehakiman bahawa mereka akan membayar sebarang ganti-rugi kepada saya sekiranya syarikat itu kalah saman sivil ini.

“Ini adalah satu bentuk jaminan kerajaan. Adakah jaminan kerajaan ini telah diluluskan kabinet?,” kata Najib dalam kenyataannya yang cuba mengaitkan bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, apabila dalam kenyataannya beberapa kali menyebut mengenai PM8 (Perdana Menteri kelapan), dan musim Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Najib membuat kenyataan hari ini sebagai mengulas tindakan 1MDB yang mengemukakan saman sivil terhadapnya berkaitan aset AS$681 atau RM2.6 bilion, tetapi turut mengaitkan PM8.

Semalam, Bernama melaporkan 1MDB dan sebuah anak syarikatnya memperoleh perintah injunksi daripada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk menghalang Najib melupus atau mengurangkan nilai mana-mana asetnya di Malaysia sehingga AS$681 juta.

Berdasarkan dokumen yang diperoleh media, injunksi tersebut juga mengehadkan Najib mengeluarkan wang tidak melebihi RM100,000 sebulan yang diperlukannya untuk perbelanjaan sara hidup serta perbelanjaan guaman. Berita berkaitan

Najib sebelum ini dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta, selepas didapati bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC).

Dia juga berhadapan empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM2.28 bilion dana 1MDB.

Najib berkata:

“Sudah musim PRN. Firma guaman Messrs Rosli Dahlan Saravana iaitu firma milik peguam peribadi PM8 dilantik untuk menjadi guaman 1MDB pada tahun lalu. 1MDB ini adalah di bawah kawalan menteri kewangan yang dilantik PM8.

“1MDB keluarkan saman sivil (bukan jenayah) terhadap saya tahun lepas untuk menuntut ganti rugi sebanyak US$681 juta.

“Saman sivil ini adalah berdasarkan afidavit seorang pegawai 1MDB sahaja dan sebab ianya saman sivil, ianya tidak melibatkan hukuman penjara tetapi tuntutan ganti rugi sahaja.”

Ahli Parlimen Pekan juga hairan kenapa 1MDB berpendapat dia mempunyai RM2.6 bilion, sedangkan untuk membayar RM1.7 bilion kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri pun dia tidak ada wang.

“Entah kenapa 1MDB fikir saya ada RM2.6b untuk bayar pampasan. Saya tak ada wang untuk bayar tuntutan cukai RM1.7b LHDN, dia ingat saya ada wang untuk bayar RM2.6b?

“Saya tiada aset berjumlah US$681 juta. Yang dimohon oleh saman 1MDB ialah saya tidak boleh memindahkan aset sehingga US$681 juta. Sebab itu, mereka nak hadkan pengeluaran dari akaun bank saya termasuk akaun pencen saya ke RM100k sebulan.

“Amat jelas bahawa kes saman sivil 1MDB di bawah Menteri Kewangan (yang dilantik PM8) yang melantik firma guaman dimiliki peguam peribadi PM8 ialah untuk membina persepsi bahawa saya ada aset bernilai sehingga US$681 juta untuk dibeku.

“Ini palsu. Setelah bertahun-tahun menyiasat, kerajaan amat jelas berapa nilai aset yang saya ada,” kata Najib.

BERITA BERKAIT
POPULAR