Waspada terima mesej kewangan skim ‘Home Improvement Grant’

Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesan cubaan mendapatkan data peribadi menggunakan kaedah ‘phishing’ melalui hantaran mesej di laman sosial yang menawarkan geran kewangan dikenali sebagai ‘Home Improvement Grant’.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata berdasarkan risikan dilakukan, pengguna laman sosial akan menerima mesej daripada individu tidak dikenali.

“Individu terbabit akan menawarkan geran kewangan dikenali sebagai ‘Home Improvement Grant’ didakwa sebagai program dikendalikan beberapa agensi kerajaan dengan kerjasama bank dunia untuk membantu individu yang memerlukan bantuan kewangan.

“Sekiranya berminat, pemohon diminta mengisi maklumat peribadi termasuk nama penuh, nombor kad pengenalan, status perkahwinan dan beberapa maklumat lain yang dinyatakan dalam borang permohonan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Kamarudin berkata, setakat ini, tiada laporan diterima pihaknya berkaitan kegiatan itu, namun pihak polis lebih awal mengingatkan orang ramai agar tidak terpedaya dengan taktik terbaharu mencuri data peribadi.

“Adalah diingatkan bahawa tindakan mendedahkan maklumat peribadi kepada pihak tidak dikenali adalah perbuatan yang merbahaya.

“Orang ramai diingatkan supaya sentiasa berwaspada kerana maklumat peribadi adalah data yang berpotensi untuk disalah guna jika ia diperolehi oleh pihak tidak bertanggungjawab,” katanya.

Beliau menasihatkan orang ramai yang mahu mendapatkan permohonan bantuan atau geran daripada pihak kerajaan supaya membuat semakan terus dengan agensi mahupun kementerian berkaitan.

“Jangan sesekali percaya dengan mesej yang diterima daripada pihak ketiga. Sebarang nasihat atau kemusykilan berkaitan jenayah komersial, orang ramai boleh merujuk kepada CCID Scam Response Center di talian 03-26101559 atau 03-26101599,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR