
Tabung Haji.
Lembaga Tabung Haji (TH) menasihati orang ramai terutamanya umat Islam di Malaysia supaya lebih berhati-hati dengan tawaran pakej haji oleh segelintir agensi pelancongan bagi musim haji 2022.
Pengarah Eksekutif Haji TH Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata ketika ini kerajaan Malaysia dan TH masih lagi menunggu pengumuman rasmi berhubung urusan haji bagi musim haji 2022 daripada kerajaan Arab Saudi, lapor Bernama.
“Pihak kami dan kedutaan Arab Saudi mendapati ada segelintir agensi pelancongan mengambil kesempatan untuk mengiklankan pakej-pakej haji mahupun badal haji yang amat meragukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu Syed Saleh turut mengingatkan, mana-mana individu atau agensi pelancongan yang menawarkan perkhidmatan pakej haji tanpa kelulusan daripada TH boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535).
Beliau berkata pada awal Mac, TH telah melantik 22 syarikat pelancongan tempatan untuk beroperasi sebagai Pengelola Jemaah Haji (PJH) bagi musim haji tahun ini sebagai langkah awal persediaan haji yang dilakukan TH saban tahun.
“Kesemua PJH yang dilesenkan tidak dibenarkan lagi mengeluarkan sebarang iklan pakej haji sehingga kebenaran rasmi dikeluarkan oleh TH,” katanya.
Untuk sebarang pertanyaan lanjut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Panggilan Tabung Haji (THCC) dengan menelefon 03- 6207 1919.
Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad kos menunai haji tidak berubah sejak 2009, sebaliknya jemaah muassasah hanya membayar RM9,980 seorang.
Beliau berkata kos untuk seorang jemaah haji muassasah menunaikan haji meningkat 139 peratus daripada RM9,578 seorang pada tahun 2001 kepada RM22,900 seorang pada 2019.
Katanya, kenaikan ini disebabkan oleh faktor di luar kawalan seperti kadar inflasi, pergerakan kadar mata wang asing dan pengenalan caj dan percukaian baharu seperti Cukai Nilai Tambah (VAT), termasuk projek pembangunan semula Kota Suci Makkah dan Madinah.
Bagaimanapun, katanya perbezaan antara kos sebenar dan kos yang dibayar jemaah haji ditanggung sepenuhnya oleh Lembaga Tabung Haji (LTH).
“Sebagai sebuah institusi Islam yang komited dalam memastikan kebajikan jemaah haji terpelihara, LTH akan terus memberi bantuan kewangan untuk jemaah haji Muassasah yang layak,” katanya menjawab soalan lisan Senator Dato’ Juhanis Abd Aziz di Dewan Negara, hari ini.