
Iklan untuk menyewa akaun bank dengan bayaran tertentu tular di media sosial.
Polis mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati dengan iklan di media sosial bertujuan menyewa akaun bank dengan bayaran tertentu, untuk tujuan jenayah.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Negeri Sembilan Superintendan Aibee Ab Ghani berkata sindiket penipuan kewangan kini semakin berani mencari mangsa melalui media sosial untuk menyewa akaun bagi digunakan sebagai transit.
“Kebiasaannya golongan yang berusia dari 20 hingga 40-an yang terjebak dengan sindiket ini kerana tiada kerja tetap selepas dijanjikan wang dengan cara mudah. Malay ramai yang terpedaya,” katanya menurut laporan HM.
Aibee berkata, pihaknya sukar untuk membuktikan pemilik akaun media sosial berkenaan terbabit dengan sindiket penipuan hanya berdasarkan iklan dibuat dan tindakan yang boleh dibuat adalah membuat laporan kepada pengurusan media sosial.
“Dari Januari sehingga Mei lalu, JSJK Negeri Sembilan menahan seramai 565 suspek yang terbabit dengan jenayah komersial dan 343 atau 60 peratus daripadanya membabitkan keldai akaun.
“Keldai akaun juga boleh ditahan serta dituduh kerana terbabit dengan sindiket penipuan dan hukumannya mungkin dianggap ringan namun selepas mereka keluar dari penjara, rekod itu tetap ada.
“Ini akan menyusahkan golongan ini untuk mendapatkan pekerjaan. Saya difahamkan akaun bank mereka akan dibekukan dan tidak dibenarkan untuk membuka akaun baru yang mana ia akan menyusahkan urusan mereka kelak.
“Malangnya, sebahagian besar daripada mereka tidak sedar dijadikan keldai akaun. Ada juga kes akaun digunakan selepas menyerahkannya kepada along ketika membuat pinjaman daripada pemberi pinjaman tidak berlesen itu,” katanya.
Menurutnya hukuman terhadap keldai akaun mungkin dianggap ringan, namun kesan jangka panjang akan dirasai selepas golongan itu selesai menjalani hukuman.
Justeru beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak terjebak dengan iklan menarik yang ditawarkan kerana kesannya akan membinasakan diri dan keluarga.