Warga emas telan 15 biji pil Ivermectin tak sedar diri: KKM

Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan Pusat Racun Negara telah menerima dua kes keracunan membabitkan penggunaan ubat Ivermectin di negara ini, membabitkan individu berusia 35 tahun dan seorang warga emas, kononnya untuk merawat Covid-19.

KKM berkata kes pertama membabitkan pengguna yang mengambil sebiji pil Ivermectin dan mengalami gejala sesak nafas yang berpanjangan sehingga lima hari, manakala kes kedua melibatkan seorang warga emas yang didapati tidak sedarkan diri selepas dikatakan mengambil 15 biji Ivermectin sekali gus.

Menurut kenyataan KKM hari ini ubat terbabit didapati dijual secara tidak sah dan setakat ini ia belum diluluskan penggunaannya sebagai rawatan atau pencegahan jangkitan Covid-19 di Malaysia.

Pengambilan Ivermectin tanpa kajian mendalam dan dos yang tidak betul boleh mengakibatkan keracunan serta kesan mudarat seperti muntah, cirit, sakit perut dan pening, kata KKM

“Kesan yang teruk pula adalah tekanan darah rendah, sesak nafas, kerosakan paru-paru dan kematian. Malangnya, tiada antidot atau rawatan spesifik untuk kes keracunan ini. Oleh itu, elakkanlah pengambilan Ivermectin untuk rawatan kendiri,” kata KKM.

Pada 5 Jun lalu Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dilapor berkata KKM dan Institut Penyelidikan Klinikal (ICR) memulakan ujian klinikal bagi mengkaji kesan penggunaan serta keberkesanan Ivermectin untuk merawat pesakit Covid-19 yang berisiko tinggi di 12 hospital di bawah kementerian itu.

Dr Noor Hisham berkata Ivermectin adalah sejenis ubat antiparasit yang diluluskan Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) serta digunakan secara meluas bagi merawat beberapa penyakit tropika terabai termasuk onchocerciasis, strongyloidiasis dan helminthiases namun belum ada bukti yang konklusif untuk mengesyorkan penggunaan Ivermectin bagi merawat Covid-19.

BERITA BERKAIT
POPULAR