
Penipuan Macau Scam.
Seorang pesara di Johor Bahru kerugian lebih setengah juta ringgit apabila tertipu dengan sindiket ‘Macau Scam’ yang menyamar pegawai polis, kata Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat.
Dalam kenyataan hari ini beliau berkata pesara berusia 85 tahun itu kerugian RM529,300 selepas menerima panggilan telefon daripada suspek yang memperkenalkan diri sebagai pegawai polis pada Mei lalu.
“Suspek memberitahu mangsa bahawa dia adalah suspek dalam kes pengubahan wang haram dan akaun banknya akan disiasat oleh pihak berkuasa,” katanya dalam satu kenyataan Sabtu (16 Julai).
Kamarul Zaman berkata, mangsa kemudian bersetuju untuk memindahkan semua wangnya ke akaun lain dan memberikan suspek maklumat bank dan kad ATM miliknya.
Tambahnya, mangsa menyemak akaun banknya pada Rabu (13 Julai) dan mendapati wang telah dipindahkan ke beberapa akaun tanpa pengetahuannya antara 26 Jun dan 6 Julai.
Mangsa membuat laporan polis pada Khamis (14 Julai).
Dalam kes berasingan, polis menerima laporan daripada pelajar lelaki sebuah universiti berusia 22 tahun yang mendakwa dia menjadi mangsa penipuan pekerjaan palsu dalam talian yang menjanjikan pulangan tinggi dalam tempoh singkat melalui komisen.
Kamarul Zaman berkata, mangsa terjumpa iklan pekerjaan melalui media sosial menggunakan platform e-dagang terkenal.
“Dia kemudian mengklik pautan dan berkomunikasi dengan suspek berhubung pekerjaan itu. Mangsa yakin dia hanya perlu mengeluarkan modal dengan membeli barang tertentu dan wangnya akan dibayar balik dengan komisen 10 peratus,” katanya.
Tergoda dengan tawaran itu, mangsa telah melakukan tiga transaksi bernilai RM18,193 kepada suspek.
“Dia bagaimanapun hanya berasa tertipu selepas suspek meminta bayaran lain selepas tidak menerima bayaran balik dan komisen yang dijanjikan,” katanya sambil menambah kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.