Warga asing sumbang peningkatan jumlah kes baharu, kematian

Sebanyak 2,630 individu atau 14.8 peratus daripada 17,786 kes baharu Covid-19 yang dilaporkan hari ini membabitkan bukan warganegara Malaysia.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata kes baharu yang dicatatkan dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi turut membabitkan sembilan kes import yang melibatkan empat individu bukan warganegara Malaysia.

Daripada jumlah jangkitan harian itu juga 260 kes atau 1.5 peratus membabitkan kategori 3, 4 dan 5, manakala 17,526 kes (98.5 peratus) lagi adalah daripada kategori 1 dan 2. Ini adalah berdasarkan keadaan klinikal kes semasa baharu didiagnosa COVID-19.

Ada di antara kes kekal di kategori yang sama sepanjang tempoh jangkitan, namun ada juga yang berubah status kesihatan kes, sama ada bertambah baik ke kategori lebih rendah atau merosot ke kategori lebih tinggi.

Sementara itu beliau memaklumkan dalam tempoh 24 jam, 165 pesakit Covid-19, termasuk 10 bukan warganegara, meninggal dunia menjadikan keseluruhannya 9,024 kes kumulatif.

Selangor merekodkan jumlah kematian tertinggi iaitu sebanyak 35 pesakit, diikuti Johor (30), Negeri Sembilan (23) dan Kedah (18).

“Dalam tempoh itu 11,718 pesakit disahkan sembuh menjadikan keseluruhannya 914,639 kes kumulatif atau 82.2 peratus daripada keseluruhan jangkitan sebanyak 1,113,272 kes.

“Pada masa sama 189,609 kes masih aktif, manakala pesakit yang dirawat di unit rawatan rapi berjumlah 1,062 individu dengan 534 memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham juga berkata dalam tempoh 24 jam sebanyak 28 kluster baharu direkodkan menjadikan keseluruhannya 3,679 kluster dengan 1,106 lagi masih aktif.

Beliau berkata daripada jumlah kluster baharu itu, 13 membabitkan jangkitan di tempat kerja dengan Selangor merekodkan enam kluster; Johor (tiga), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (dua); dan masing-masing satu di Kedah dan Perak.

Kelantan yang semalam merekodkan tujuh kluster komuniti hari ini turut mencatatkan enam lagi jangkitan di dalam kluster itu yang membabitkan daerah Bachok, Kota Bharu, Kuala Krai dan Pasir Puteh.

Kluster komuniti turut direkodkan di Selangor, Sabah, Perak, Sarawak dan Kedah.

Sementara itu kluster keagamaan, kumpulan berisiko tinggi dan pusat tahanan direkodkan di Sabah, Johor dan Selangor.

Mengenai kadar kebolehjangkitan Dr Noor Hisham berkata berdasarkan data terkini pada 30 Julai 2021, nilai RT Malaysia adalah sebanyak 1.12.

“Negeri yang mencatatkan nilai RT yang tertinggi adalah Terengganu (nilai RT 1.29) dan Kelantan (nilai RT 1.29) diikuti oleh Sabah (nilai RT 1.25). Semua negeri mencatatkan RT melebihi 1.0 kecuali Negeri Sembilan, Wilayah Persekutuan Labuan, dan Perlis,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR