
Kredit Foto Facebook Yuslaini Azmi
Seorang ahli politik wanita muda PKR hari ini tampil ke depan menuntut siasatan bebas terhadap laporan polis yang dibuatnya baru-baru ini berhubung dakwaan cabul melibatkan seorang pemimpin parti pembangkang dari Amanah.
Individu tersebut, Yuslaini Azmi dalam satu kenyataan di akaun Facebooknya mengakui dirinya yang membuat laporan polis terhadap pemimpin Amanah tersebut selepas identiti mangsa itu menjadi teka-teki sejak tersebar berita berhubung isu cabul baru-baru ini.
“Saya berharap pihak polis akan menyiasat kes ini secara bebas dan ‘transparent’ tanpa ada campur tangan mana-mana kuasa politik dan besar harapan saya kes ini akan diadili dan disiasat dengan penuh professional oleh pihak polis.
“Selain itu, dengan rasa rendah diri saya juga meminta pihak PDRM untuk membuka semula satu lagi kes yang saya laporkan tentang penculikan.
“Sudah hampir 10 tahun kes itu tertangguh tanpa sebarang tindakan dan tergantung begitu sahaja. Saya menginginkan keadilan untuk diri saya sebagai seorang wanita dan merasa selamat di negara sendiri,” katanya dalam kenyataan itu lagi.
Jelasnya lagi, walaupun mereka berada dalam satu blok pembangkang ia tidak boleh dijadikan alasan untuk dirinya berdiam diri dan menuntut supaya keadilan ditegakkan tanpa mengira latar belakang individu tersebut.
“Saya percaya prinsip keadilan itu perlu ditegakkan tidak kira dari pihak kerajaan mahupun pembangkang,” katanya lagi.
Terdahulu, media melaporkan seorang Adun dari utara Semenanjung disiasat polis atas tuduhan mencabul seorang wanita ketika mereka keluar untuk maraikan hari kelahiran wanita itu di Petaling Jaya.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Khalid Othman dilaporkan berkata, wanita berusia 31 tahun itu membuat laporan polis pada 16 Mac lalu.
Wanita itu mendakwa suspek cuba mencabulnya dan menyatakan suspek mengingatkannya agar tidak memberitahu sesiapa mengenai kejadian berkenaan.
Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan, undang-undang yang menetapkan kesalahan berhubung penggunaan kekerasan untuk memalukan kesopanan seseorang.