
PDRM memulakan siasatan terhadap video tular melibatkan seorang wanita yang didakwa menghina Islam.
Bukit Aman mengesahkan polis sudah menahan seorang wanita yang didakwa membuat persembahan menghina Islam di sebuah kelab baru-baru ini.
Setiausaha PDRM Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin memberitahu wanita tersebut direman tiga hari hingga 12 Julai ini bagi membantu siasatan berhubung dakwaan membuat persembahan yang sengaja menghina penganut beragama Islam selepas tular video dalam media sosial.
“Ketika ini, suspek ditahan di Ibu Pejabat Polis Brickfields dan siasatan masih diteruskan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Noorsiah berkata PDRM sedang menyiasat insiden itu yang tular di media sosial dan mendapat respons negatif masyarakat khususnya umat Islam.
Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan (atas alasan agama menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, benci-membenci atau niat jahat) oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.
Siasatan juga dilakukan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan atau perkhidmatan rangkaian.
Terdahulu, tular sebuah video di aplikasi TikTok milik pengguna akaun @mie_8099 yang memperlihatkan seorang wanita membuka tudung dan baju kurung yang dipakainya selepas memperkenalkan diri sewaktu membuat persembahan di sebuah kelab di sekitar Taman Tun Dr Ismail, di sini.
Menerusi klip video berdurasi 53 saat itu, wanita berkenaan turut mengakui statusnya sebagai orang Melayu dan beragama Islam selain telah menghafal 15 juzuk al-Quran.
Sehubungan itu, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan hari ini dilaporkan turut menjalankan siasatan berhubung klip video terbabit.