
Siti Nuramira Abdullah bukan pemegang kad orang kelainan upaya (OKU).
Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menafikan Siti Nuramira Abdullah merupakan pemegang kad orang kelainan upaya (OKU) seperti yang dipaparkan dalam satu infografik yang tular di media sosial.
Siti Nuramira ialah wanita yang didakwa menghina agama Islam dengan berlakon tidak senonoh dengan menanggalkan tudung dan baju kurung ketika membuat persembahan di sebuah kelab komedi di Taman Tun Dr Ismail, baru-baru ini.
JKM dalam satu kenyataan semalam (27 Julai) berkata, berdasarkan rekod Sistem Pengurusan Maklumat Orang Kurang Upaya, mendapati Siti Nuramira bukan pemegang kad OKU.
“Media digesa mendapatkan pengesahan daripada jabatan itu terlebih dahulu bagi memastikan perkara yang dilaporkan adalah benar,” kata JKM dalam kenyataan itu.
JKM juga berharap laporan itu dapat diperbetulkan segera oleh pihak berkenaan bagi mengelak salah faham dalam kalangan masyarakat dan dalam menjaga sensitiviti OKU.
Pada 13 Julai lalu, Siti Nuramira, 26 didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan menyebabkan rasa tidak harmoni dalam kalangan umat Islam.
Bagaimanapun, tertuduh mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Siti Aminah Ghazali.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa mengaku seorang Muslim dan menghafal 15 juzuk al-Quran kemudian membuka tudung dan menanggalkan baju kurung sewaktu membuat persembahan di atas pentas.
Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh di Restoran Crack House Comedy Club, 24 Lorong Rahim Kajai 14, Taman Tun Dr Ismail (TTDI), Brickfields, jam 6 petang, pada 4 Jun lalu.
Berikutan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 298A(1)(a) Kanun Keseksaan iaitu perbuatan berkenaan boleh menyebabkan suasana tidak harmoni di atas alasan agama, di antara orang yang menganut agama sama.
Bagi kesalahan itu, tertuduh boleh dihukum penjara minimum dua tahun dan maksimum lima tahun, jika sabit kesalahan. Dia dibebaskan dengan jaminan M20,000.