
Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berdepan 40 tuduhan jenayah, termasuk rasuah, di Mahkamah Tinggi Shah Alam membabitkan wang lebih SG$13,56 juta.
Pasukan pendakwaan memberitahu Mahkamah Tinggi Shah Alam berhubung wang rasuah yang diberikan Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) kepada Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bukan turun dari ‘langit’.
Dalam hujahan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran berkata pihaknya sudah mengemukakan bukti dipercayai yang boleh membawa kepada prima facie atau keraguan munasabah terhadap kes itu berhubung punca wang tersebut diperoleh dan diberikan kepada Zahid selepas memintanya.
“Mereka (saksi pendakwaan) tidak berbohong. UKSB tiada wang, maka perlu bantuan daripada rakan niaga di Hong Kong dan ia disahkan David Tan Siong Sun (bekas Pengurus Pentadbiran UKSB).
“Ada perjanjian UKSB dengan pihak di Hong Kong, wang bukan turun dari ‘langit’. Mahkamah perlu menilai bukti dikemukakan bahawa beliau (Ahmad Zahid) meminta wang itu.
“Beliau tidak sepatutnya meminta wang itu dan tiada hak untuk menggunakan kedudukannya (sebagai menteri) untuk mendapatkan wang berkenaan,” katanya dipetik laporan BH.
Tegas Raja Rozela lagi, isu yang timbul berhubung pengesahan sumber berkenaan juga bukan satu elemen yang perlu dibuktikan pendakwaan.
Terdahulu, peguam Ahmad Zahid, Hamidi Mohd Noh, berkata tiada bukti bagi mengesahkan sumber wang tunai UKSB diberikan kepada Zahid, adalah hasil perjanjian dengan syarikat di Hong Kong.
Katanya, ia susulan tiada saksi pendakwaan dari syarikat terbabit, dipanggil bagi memberi keterangan untuk mengesahkan kewujudan wang berkenaan.
Bagaimanapun, beliau berkata, pendakwaan menawarkan saksi berkenaan kepada pihaknya, namun ia bukan tugas pembelaan untuk membuktikan kes itu.
“Saksi pendakwaan ke-15, 16 dan 17 (dua bekas Pengarah USKB, Harry Lee Vui Khiun dan Wan Quoris Shah Wan Abdul Ghani serta Siong Sun) kata wang diberi bukan daripada UKSB sendiri. Jadi wang dari mana.
“Jika sumber wang dari Hong Kong, kena panggil saksi dari negara itu untuk sahkan perkara berkenaan termasuk jumlahnya. Sumber wang itu daripada Visa Malaysia Ltd, selain dividen Valiant Capital Corporation dan Maintech System HK Ltd (syarikat Hong Kong).
“Pengarah syarikat itu perlu dipanggil beri keterangan. Mereka perlu membuktikan wang itu wujud atau tidak, ia perkara asas. Yang ada sekarang hanya keterangan tiga saksi pendakwaan berkenaan,” katanya.
Selain Hamidi, Zahid diwakili peguam, Datuk Hisyam Teh Poh Teik dan Datuk Ahmad Zaidi Zainal, manakala pendakwaan turut dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, Abdul Malik Ayob, Zander Lim Wai Keong dan B Thavani.
Zahid, 69, berdepan 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SG$13.56 juta daripada UKSB untuk dirinya selaku Menteri Dalam Negeri ketika itu, bagi melanjutkan kontrak syarikat berkenaan sebagai pengendali Pusat Sehenti (OSC) di China dan Visa Luar Negara (VLN).
Suapan itu juga bagi mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama, oleh Kementerian Dalam Negeri.