Wang KWSP: Simpanan masa hadapan atau kegunaan harian?

Kebenaran pengeluaran khas simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), pasti melegakan segmen masyarakat yang masih terkesan dari segi ekonomi, kehilangan pendapatan dan sedang membina semula kehidupan.

Bagaimanapun, Perdana Menteri ketika membuat pengumuman itu, turut merayu pencarum mengekalkan simpanan kecuali dalam keadaan benar-benar mendesak.

Hakikatnya, ia selari dengan realiti Malaysia memasuki kategori negara yang masyarakat semakin tua, iaitu warga emas melebihi tujuh peratus, sekali gus menyebabkan pengurusan ekonomi semakin kompleks.

Menurut Felo Kanan Social Welbeing Research Centre (SWRC), Universiti Malaya (UM), Dr Zulkiply Omar, jumlah tenaga kerja berkurangan, tetapi bebanan sosial meningkat selari peningkatan warga emas. Jumlah pekerja sedikit terpaksa menanggung bebanan tanggungan semakin meningkat.

“Ini akan memberi kesan kepada pengeluaran negara. Seterusnya pertumbuhan ekonomi akan terganggu jika tidak diurus baik.

“Negara mempunyai dua pilihan. Pertama, kekalkan kaedah pengeluaran sedia ada dengan mengimport buruh asing, manakala kedua, ubah dengan menerapkan teknologi tidak berintensif buruh, iaitu tiada keperluan import buruh asing.

“Kedua-duanya memberi kesan terhadap pertumbuhan ekonomi jangka panjang. Kaedah pertama, mengekang pertumbuhan produktiviti, seterusnya memperlahankan pertumbuhan ekonomi masa hadapan dan kaedah kedua, meningkatkan pertumbuhan produktiviti serta ekonomi jangka panjang,” katanya.

Jelas, penerapan teknologi tinggi perlu diutamakan berlandas struktur demografi dan pendidikan negara. Kekurangan buruh kurang mahir akan berkekalan, bermakna kebergantungan kepada buruh asing berterusan dengan penggunaan teknologi berintensif buruh.

Dalam pada itu, negara melabur dan berjaya membangunkan modal insan kompetitif. Tanpa penerapan pengeluaran berintensif teknologi, permintaan buruh mahir tempatan tidak meningkat, sekali gus memburukkan pengangguran belia berkemahiran.

Jika dilihat dari aspek bebanan sosial, penuaan masyarakat meningkatkan perbelanjaan sosial kerajaan termasuk perbelanjaan kesihatan dan bantuan kewangan untuk mereka yang tidak mempunyai pendapatan persaraan mencukupi. Kita perlu mengambil iktibar negara membangun mempunyai masyarakat tua terpaksa berbelanja besar sebagai bantuan sosial untuk warga emas.

Justeru, bagaimanakah strategi pembangunan ekonomi perlu dilaksanakan? Ringkasnya, galakkan pertumbuhan ekonomi berlandaskan produktiviti mengambil kira struktur demografi.

“Struktur pengeluaran ekonomi mesti selari struktur demografi. Teknologi pengeluaran perlu mengambil kira struktur buruh, lantas menggalakkan pertumbuhan produktiviti.

“Negara mengalami transisi dari struktur demografi tenaga kerja ramai kepada struktur semasa dengan peningkatan bilangan warga emas. Negara menerima manfaat besar jika perubahan diseragamkan dengan teknologi pengeluaran. Ini dividen demografi pertama berpaksikan produktiviti,” katanya.

Seterusnya negara bergantung kepada dividen demografi kedua untuk pertumbuhan ekonomi mampan apabila masyarakat semakin menua. Apakah dividen demografi kedua?

Tambah beliau, dividen demografi kedua menjadi manfaat kepada ekonomi berterusan hasil pengurusan ekonomi baik ketika era dividen demografi pertama dan seterusnya. Bagaimanakah untuk memanfaatkan dividen demografi kedua?

Dari perspektif pengeluaran, strateginya dengan terus menerapkan peningkatan produktiviti melalui struktur pengeluaran bersesuaian struktur demografi. Ia bergantung pelaburan berkualiti ditentukan melalui pengumpulan modal, termasuk modal insan. Akhirnya, ia bergantung kepada jumlah simpanan dalam ekonomi.

Ekonomi mempunyai simpanan rendah sukar untuk membangun kerana tidak mempunyai pelaburan mencukupi. Pembangunan ekonomi baik tidak mungkin tercapai dengan mengharap ehsan daripada negara luar. Malaysia mengharungi pertumbuhan baik disokong jumlah simpanan tinggi.

“Kita perlu melihat simpanan dari dua perspektif. Dari perspektif makro, ia penting untuk pertumbuhan ekonomi dengan menjana pelaburan. Ini bermakna ia perlu dikekalkan pada jumlah baik untuk menjamin pertumbuhan ekonomi mampan.

“Dari perspektif mikro ekonomi, setiap individu menyimpan berlandaskan pendekatan kitaran hidup masing-masing. Individu menyimpan sebahagian hasil pendapatan semasa zaman produktif untuk perbelanjaan hari tua ketika tidak lagi produktif. Tentu setiap individu mempunyai naluri berkelakuan sebegini dengan syarat mempunyai pendapatan lebihan daripada penggunaan perlu seperti makanan dan perumahan,” jelasnya.

Dasar keselamatan sosial komprehensif mempunyai elemen insurans dan bantuan. Insurans terletak di tangan individu, iaitu setiap orang menguruskan risiko pendapatan bersesuaian konsep simpanan untuk hari tua dari segi keselamatan pendapatan. Elemen bantuan terpulang kepada pemerintah. Bantuan diberi kepada golongan tidak berkemampuan untuk menguruskan risiko kehilangan pendapatan.

Ringkasnya, jika dirujuk kepada pendapatan hari tua, ia pendapatan persaraan atau pencen. Individu mampu akan menyediakan pencen dengan menyimpan sebahagian pendapatan semasa alam pekerjaan. Golongan tidak mampu perlu dilindungi bantuan sosial seperti melalui kaedah pencen universal dibiayai sepenuhnya dana awam.

Pada masa hadapan, desakan ketika ahli berhasrat membuat pengeluaran untuk kelangsungan hidup perlu diselesaikan dengan kaedah lain, iaitu elemen bantuan sosial.

“Golongan ini perlu diberi bantuan daripada alternatif bersesuaian seperti penggunaan dana awam yang mungkin boleh dijustifikasikan dengan penyaluran terus hasil cukai makmur.

“Perlu diingat, inilah contoh kepentingan peningkatan produktiviti menjana pertumbuhan ekonomi. Peningkatan produktiviti menjamin pencapaian dividen demografi kedua maksimum. Seterusnya memberi ruang lebih luas untuk kerajaan melaksanakan bantuan sosial sebagai jaminan pendapatan rakyat,” tambah beliau.

BERITA BERKAIT
POPULAR