
Lokasi sebenar Jho Low masih gagal disahkan pihak berkuasa.
Terdapat beberapa sebab yang menjadi penghalang kepada usaha kerajaan untuk menangkap rakan sepenjenayah Datuk Seri Najib Razak, Low Taek Jho atau Jho Low sehingga sekarang.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri sementara, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar memberitahu tidak adil untuk menyalahkan kerajaan hanya kerana Jho Low yang juga rakan baik Najib bergelar banduan kini tidak dapat ditangkap dan dibawa ke muka pengadilan.
“Kita tidak boleh salahkan kerajaan kerana belum ada perjanjian dengan negara tertentu.
“Saya tidak pasti sama ada kita mempunyai perjanjian dengan China untuk mengekstradisi orang,” katanya dipetik laporan FMT.
Sebelum ini, media melaporkan Jho Low didakwa masih bersembunyi di China dan perkara itu didedahkan penulis bersama buku ‘Billion Dollar Whale: The Man Who Fooled Wall Street, Hollywood, and the World’, Bradley Hope menerusi episod pertama program ‘Di Mana Jho Low’ yang disiarkan di platform aplikasi video YouTube, pada 31 Ogos lalu.
Menerusi episod itu, Hope bersama seorang penulis, Tom Wright turut berkongsi sekeping gambar memaparkan Jho Low bersama dua individu tidak dikenali di sebuah restoran di Disneyland Shanghai.
Hope berkata, gambar didakwa bertarikh 24 Disember 2019 itu diterimanya daripada sumber boleh dipercayai.
Hope sebelum ini melancarkan kempen menjejak Jho Low dengan meminta orang ramai mengesan ahli perniagaan dalam buruan itu.
Jho Low berdepan saman AS$3.78 bilion atau RM16.82 bilion yang difailkan oleh 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan empat anak syarikatnya.