Wallahi Wabilahi Watallahi, kata Najib sekali lagi ikut cara orang Arab

Datuk Seri Najib Razak sekali lagi mengulangi kenyataan bahawa beliau tidak tahu, tidak meminta dan tidak pernah mengarahkan sesiapa untuk memindahkan RM42 juta wang SRC International Sdn Bhd (SRC) ke dalam akaunnya.

Bagaimanapun, kenyataan bekas Presiden UMNO itu diawali dengan menyebut ‘Wallahi Wabilahi Wattawallahi’ – perkataan yang sering diucapkan seolah-olah bagi menunjukkan seseorang itu ‘bersumpah laknat’, sedangkan dalam Islam tiada istilah ‘sumpah laknat’.

Kenyataan Najib itu dibuatnya pada sidang media secara dalam talian bersama peguamnnya Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah sejurus Mahkamah Rayuan hari ini menolak permohonannya untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara dan denda dijatuhkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai tahun lalu.

“Sebagai seorang yang beragama Islam saya nak menyatakan Wallahi Wabilahi Wattawallahi… bahawa saya tidak tahu, saya tidak minta, saya tidak pernah mengarahkan sesiapa untuk memindahkan RM42 juta itu ke akaun peribadi saya,” kata bekas Perdana Menteri pertama Malaysia yang ditangkap, dibicara dan dijatuhi hukuman penjara serta denda atas kesalahan jenayah.

Untuk rekod, Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor membahagikan sumpah kepada dua kategori iaitu sumpah sebenar, manakala satu lagi pula melibatkan sumpah yang ‘lagha’ atau sia-sia.

“Sumpah yang ‘lagha’ ini adalah kebiasaan kita. Ia sebagaimana kebiasaan dalam kalangan orang Arab yang selalu menyebut lafaz sumpah seperti ‘Wallahi’, ‘Wabillahi’ atau ‘Watallahi’.

“Mereka menggunakan perkataan itu untuk menekankan suatu perkara, bukannya bersumpah,” katanya.

Untuk rekod juga, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (hal-ehwal agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri ketika menjadi Mufti Wilayah Persekutuan, berkata, tiada istilah sumpah laknat dalam perundangan Islam kecuali membabitkan perkara li’an.

Perkara li’an ialah:

Jika seorang suami menuduh isterinya berzina, dia akan dikenakan hukuman qadlif, jika ia tidak dapat membuktikan tuduhan dengan membawa 4 orang saksi. Dalam keadaan ini, suami boleh menggunakan acara li’an untuk mengelakkan hukuman ke atasnya. Jika pihak-pihak kepada suatu perkahwinan telah bersumpah secara li’an mengikut Hukum Syarak di hadapan Hakim Syarie, dalam hukumannya. Hakim Syarie itu akan memerintahkan mereka farak dan dipisahkan dan tinggal berasingan selama-lamanya.

Bagaimanapun, Dr Zulkifli berkata mubahalah dalam Surah Ali Imran ayat 61 tidak merujuk kepada sistem perundangan Islam sebaliknya kategori sumpah dalam pendebatan untuk menyokong hujah yang benar.

“Mubahalah tidak menjadi satu tuntutan sekiranya kes sedang dibicarakan di mahkamah. Bahkan proses keadilan di mahkamah tidak eksekutif pada sumpah sahaja, bahkan pembuktian yang lain seperti pengakuan, penyaksian dan pembuktian di hadapan hakim,” katanya.

Mubahalah menurut istilah, adalah dua pihak yang saling memohon dan berdoa kepada Allah SWT supaya Allah SWT melaknat dan membinasakan atau mengazab pihak yang batil (salah) atau menyalahi pihak kebenaran.

Peristiwa mubahalah pernah dilakukan oleh Rasulullah SAW terhadap pendeta Kristian dari Najran pada tahun ke-9 Hijriah, sebagaimana disebutkan dalam surah Ali Imran ayat 61 yang bermaksud:

Kemudian sesiapa yang membantahmu (wahai Muhammad) mengenainya, sesudah engkau beroleh pengetahuan yang benar, maka katakanlah kepada mereka: “Marilah kita menyeru anak-anak kami serta anak-anak kamu, dan perempuan-perempuan kami serta perempuan-perempuan kamu, dan diri kami serta diri kamu, kemudian kita memohon kepada Allah dengan bersungguh-sungguh, serta kita meminta supaya laknat Allah ditimpakan kepada orang-orang yang berdusta”.

Sebelum ini, pada 28 Julai 2020, Najib juga melafazkan ‘sumpah laknat’ dihadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali ketika diberi peluang bercakap selepas penghujahan mitigasi pendakwaan dan pembelaan.

Najib juga pernah melafazkan ‘sumpah laknat’ di Masjid Jamek Kampong Baru menafikan pembabitan dalam pembunuhan melibatkan warganegara Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Dr Zulkifli juga pernah memberi contoh mengenai seseorang yang biasa menyebut ‘tidak, demi Allah’ dan bahkan, ‘demi Allah’. Kata-kata yang demikian tidak dianggap sumpah dari segi syarak, sebagaimana firman Allah SWT dalam surah Al-Maidah ayat 89 yang bermaksud:

Kamu tidak dikira salah oleh Allah tentang sumpah-sumpah kamu yang tidak disengajakan (untuk bersumpah), akan tetapi, kamu dikira salah oleh-Nya dengan sebab sumpah yang sengaja kamu buat dengan bersungguh-sungguh.

Beliau juga mengetengahkan hadis riwayat al-Bukhari (6286) dan Abu Daud (3254) di mana Aisyah radiallahu anha berkata “Ayat ini diturunkan berkaitan dengan kata-kata seorang lelaki yang menyebut tidak, demi Allah! Dan bahkan, demi Allah!”.

BERITA BERKAIT
POPULAR