‘Walk in’ warga emas Selangor, KL suntik vaksin ditangguh

Program ‘walk in’ suntikan vaksin bagi warga emas berusia 60 tahun ke atas di mana-mana Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Selangor dan Kuala Lumpur seperti diumumkan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba petang tadi, ditangguhkan.

Sehubungan itu semua warga emas di kedua-dua negeri berkenaan dinasihat tidak ke mana-mana PPV esok untuk tujuan mendapatkan suntikan vaksin secara ‘walk in’, kecuali mereka yang telah mendapat temu janji.

Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) dalam kenyataan malam ini berkata pelaksanaan program ‘walk in’ warga emas itu ditangguhkan dan tarikhnya akan dimaklumkan kemudian.

“Merujuk kepada vaksinasi walk in bagi warga emas di Selangor dan Kuala Lumpur seperti yang diumumkan Menteri Kesihatan dalam sidang akhbar petang tadi, CITF ingin memaklumkan bahawa tarikh pelaksanaan kaedah ini akan dimaklumkan kelak.

“Ini bagi membolehkan perancangan inisiatif ini dimuktamadkan, seperti urusan logistik serta penghantaran bekalan stok vaksin di semua PPV,” kata CITF dalam kenyataan itu.

CITF berkata susunan waktu inisiatif walk in itu perlu dirancang dengan teliti bagi mengelak kesesakan di PPV terutama bagi warga emas tatkala jumlah kes baharu Covid-19 semakin tinggi sekarang.

“Oleh itu orang ramai yang berusia 60 tahun ke atas bersama pengiring mereka yang tidak mempunyai janji temu vaksinasi diminta untuk tidak hadir ke mana-mana PPV esok sehingga maklumat lanjut berkenaan inisiatif ini diumumkan dalam masa terdekat,” kata CITF.

Terdahulu, Dr Adham pada sidang media di Putrajaya petang tadi memaklumkan kerajaan membuat keputusan membenarkan warga emas berusia 60 tahun ke atas di Selangor dan Kuala Lumpur, tidak perlu lagi menunggu janji temu suntikan menerusi MySejahtera.

Sebaliknya, Menteri kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata mereka boleh terus ke mana-mana Pusat Pemberian Vaksin (PPV) atau secara ‘walk in’, mulai esok.

Katanya, langkah itu diambil selepas data menunjukkan masih ada lagi warga emas yang masih belum disuntik.

“Di Selangor dan Kuala Lumpur, mereka yang berusia 60 tahun yang masih belum menerima vaksin, boleh walk in. Data menunjukkan masih ada lagi golongan ini yang masih belum divaksinasi,” katanya.

Beliau berkata projek perintis yang bermula di Selangor dan Kuala Lumpur itu akan dikembangkan ke negeri-negeri lain dalam masa terdekat dalam usaha meningkatkan lagi program imunisasi bagi mempercepatkan pencapaian imuniti kelompok.

BERITA BERKAIT
POPULAR