Video ‘puasa pun bodoh’: Polis panggil 11 individu

Polis telah memanggil 11 individu bagi membantu siasatan kes pekerja di sebuah restoran KFC di Klang, Selangor dimarahi pelanggan dengan kata-kata kesat.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata semua individu itu dirakam percakapan mereka bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 298 dan Seksyen 509 Kanun Keseksaan.

“Ini adalah ekoran dari satu video klip yang tular di media sosial sejak semalam. Kejadian berlaku di salah sebuah restoran KFC di Klang, Selangor.

“Pihak polis menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian tersebut dan masyarakat juga disarankan agar sentiasa hormat menghormati antara satu sama lain bagi mengekalkan keharmonian serta perpaduan negara Malaysia yang mempunyai penduduk berbilang bangsa dan agama ini,” katanya dalam kenyataan lewat petang ini.

Seksyen 298 Kanun Keseksaan, adalah berkaitan perbuatan menghasilkan sebarang bunyi ‘dengan sengaja berniat hendak melukakan perasaan agama seseorang’, adalah suatu kesalahan jenayah yang boleh dihukum dengan penjara selama tempoh 1 tahun, atau denda, atau kedua-duanya sekali.

Sementara, Seksyen 509 pula adalah berkaitan perkataan atau isyarat yang dimaksudkan mengaibkan kehormatan seseorang.

Mengikut seksyen itu, barang siapa dengan maksud hendak mengaibkan kehormatan seseorang, menyebut apa-apa perkataan, membuat apa-apa bunyi atau isyarat, atau menunjukkan apa-apa benda, dengan maksud supaya perkataan atau bunyi itu didengar, atau supaya isyarat atau benda itu dilihat oleh seseorang itu, atau mengganggu kesantunan seseorang itu, hendaklah diseksa dengan penjara selama tempoh yang boleh sampai lima tahun, atau dengan denda, atau dengan kedua-duanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR