Video baharu judi sempena raya: Polis buka lagi kertas siasatan

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani.

Sebuah lagi video mempromosi perjudian dalam talian bertemakan sambutan Hari Raya Puasa dikatakan berlegar di media sosial hari ini.

Susulan itu, satu laporan baharu polis dibuat bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani ketika mengesahkan perkara itu berkata beliau sudah mengarahkan satu laporan polis dibuat untuk membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

Mengenai iklan promosi judi online sempena Aidilfitri yang tular di media sosial hingga menimbulkan kegusaran awam baru-baru ini, beliau berkata setakat ini lapan individu sudah ditangkap.

“Merujuk kepada video promosi judi online yang tular di media sosial baru-baru ini, PDRM telah menerima sebanyak 38 laporan.

“Susulan daripada siasatan yang dijalankan, PDRM berjaya mengesan dan menahan lapan individu iaitu lima lelaki dan tiga wanita yang disyaki terlibat sebagai pelakon, ejen artis, juru video/kamera serta pengarah penggambaran,” katanya.

Dalam satu kenyataan hari ini, Acryl Sani berkata semua individu yang ditangkap mengaku menerima bayaran bagi pembikinan video itu yang diadakan di Ampang dan Hulu Langat pad 13 Mac lalu.

“Semua suspek akan direman bagi siasatan lanjut. Mereka ditahan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, serta Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah judi Terbuka 1953.

“Usaha untuk mengesan dalang sebenar di sebalik pembikinan video itu masih diteruskan,” katanya.

POPULAR