Varian Delta menular di Kelantan, 60 kes dikesan dalam tempoh 9 hari

Penularan varian Delta dikalangan rakyat Kelantan semakin meningkat, terbaharu sebanyak 60 kes sudah dikesan dalam tempoh sembilan hari sejak 26 Disember lalu.

Pengesahan jangkitan varian merbahaya tersebut dibuat kajian berterusan makmal Kementerian Kesihatan (KKM).

Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin berkata jumlah keseluruhan kes varian Delta dicatatkan di negeri ini sebanyak 170 kes dan tren peningkatan tersebut amat membimbangkan.

“Penularan varian Delta yang tinggi dalam masa sembilan hari amat membimbangkan memandangkan varian berkenaan berbahaya dan cepat merebak.

“Varian ini sudah lama berada dalam komuniti kita dan jangkitannya terlalu cepat jika individu yang positif tidak mengambil langkah kuarantin diri,” katanya, hari ini.

Dr Zaini berkata, kes jangkitan varian Beta yang dikesan di negeri ini sehingga semalam adalah sebanyak 27 kes.

Katanya, keseluruhan jangkitan kes varian Delta serta Beta adalah sebanyak 197 kes dan setakat ini tiada kes membabitkan varian Omicron.

“Namun, semua penduduk diminta terus berhati-hati dan menjaga prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelakkan varian baharu ini masuk ke negeri ini.

“Masyarakat juga dinasihatkan menjaga diri dan tidak terlalu selesa walaupun negeri ini sudah masuk ke Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) hari ini.

“Fasa Empat bukan tiket untuk kita bebas ke mana-mana saja dengan tidak mematuhi SOP kerana jangkitan kes Covid-19 masih tinggi,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR