Varian baharu lebih bahaya, pesakit tak bergejala dan sukar dikesan: Nor Hisham

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Tidak bergejala dan sukar dikesan walaupun disaring menjadi cabaran buat petugas kesihatan dalam berdepan kemunculan varian-varian baharu Covid-19 yang sedang menular dalam masyarakat ketika ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Senario tersebut amat merisaukan apabila pesakit juga sering mencatatkan keputusan negatif walaupun sudah berada pada tahap kritikal dan varian-varian VOC itu juga merebak dengan lebih cepat dan dikaitkan dengan kadar kematian yang tinggi.

“Ada sebahagian daripada pesakit ini tidak menunjukkan gejala-gejala awal COVID-19 yang biasa seperti kehilangan deria bau atau deria rasa. Namun, varian baharu ini cepat merebak terus ke paru-paru.

“Sebilangan besar pesakit juga tidak menunjukkan gejala demam walaupun terdapat tanda-tanda radang paru-paru yang dikesan melalui imbasan X-ray,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya kebanyakan pesakit yang dijangkiti tidak menunjukkan gejala seperti batuk atau demam tetapi hanya sakit sendi, berasa lemah badan, kelesuan dan hilang selera makan.

Sebelum ini dilaporkan terdapat tiga varian VOC di negara ini iaitu varian Afrika Selatan (B.1.351), varian United Kingdom (B.117) dan varian India (B.1.617.1).

Sehubungan itu, Dr Noor Hisham meminta orang ramai supaya sentiasa berhati-hati dan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kendiri bagi mengelak dijangkiti wabak berkenaan.

Ini kerana katanya gelombang COVID-19 kali ini adalah lebih bahaya berbanding gelombang sebelumnya.

“Jangan kita lalai dan kita mesti sentiasa berwaspada. Duduk di rumah sekiranya tiada urusan penting. Kita perlu amalan PKP kendiri,” katanya.

Beliau juga terus mengingatkan orang ramai supaya mengelakkan daripada pergi ke tempat-tempat sesak dan ruang sempit, sentiasa menjaga penjarakan fizikal, memakai pelitup muka dan kerap mencuci tangan dengan sabun atau cecair pensanitasi.

POPULAR
Cemas tertukar bayi di hospitalJune 13, 2021
Malaysia sedang bangunkan dua vaksin Covid-19 sendiriJune 12, 2021
Polis tahan lori bawa 48 pekerja kilang proses ayam positif Covid-19June 14, 2021
Masjid tak ditutup, aktiviti hanya ditangguh, kata Mufti KelantanJune 13, 2021
Agong yakin langkah kerajaan tadbir negara, tangani Covid-19June 13, 2021
PM yakin Kuala Lumpur capai imunisasi kelompok menjelang 31 OgosJune 13, 2021