Vaksin ‘walk in’ warga emas mula esok, tak ditangguh lagi

Program ‘walk in’ suntikan vaksin bagi warga emas berusia 60 tahun ke atas di mana-mana Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Selangor dan Kuala Lumpur akan bermula esok dan tidak ditangguh-tangguh lagi.

Perkara itu dinyatakan Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin, hari ini selepas kali pertama diumumkan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba semalam.

Dr Adham semalam berkata program itu akan bermula hari ini, tetapi beberapa jam kemudian Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) memaklumkan program berkenaan ditangguh ke satu tarikh lain bagi membuat persediaan rapi.

Khairy ketika mengumumkan perkara itu, berkata warga emas iaitu individu berusia 60 tahun dan ke atas yang belum mendaftar bagi mendapatkan suntikan vaksin juga boleh berbuat demikian.

Sehubungan itu, katanya, laluan khas bagi warga emas akan disediakan di setiap PPV di KL dan Selangor, selain garis panduan bagi melancarkan proses pemberian vaksin secara terus.

“Kita nak pastikan setiap warga emas ini mendapat perlindungan secepat mungkin, justeru kerajaan memutuskan pendekatan ‘walk in’ (secara terus).

“Selain itu, kita akan pastikan warga emas menerima vaksin dalam keadaan selesa dan selamat, memandangkan jumlah kes harian masih tinggi di Lembah Klang,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR