Vaksin kanak-kanak: Masa tunggu dan lihat telah tamat, kata Khairy

Hanya satu juta kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun telah divaksin daripada 1.63 juta janji temu Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) yang dihantar setakat 3 Februari lalu, menurut Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata baki iaitu lebih 600,000 individu yang telah mendaftar dan menerima tarikh janji temu, gagal mendapatkan vaksin berkenaan, lapor Bernama

“Vaksinasi Covid-19 bagi kanak-kanak lima hingga 11 tahun baru mencecah 30 peratus, dengan keadaan kes yang meningkat dalam kalangan kanak-kanak, kita melihat kemasukan ke hospital meningkat, di samping kita melihat kes kemasukan ke Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) meningkat.

“Ibu bapa masih lagi tidak buat pilihan untuk memberi perlindungan kepada anak-anak mereka melalui vaksinasi kanak-kanak (PICKids). Saya rasa masa untuk tunggu dan lihat dah tamat…kita melihat vaksinasi ini selamat dan memberi perlindungan daripada gejala yang paling serius,” katanya pada sidang media di Bangunan Parlimen hari ini.

Beliau berkata kanak-kanak lebih berisiko tinggi untuk dijangkiti varian Omicron berbanding varian sebelum ini, memandangkan kumpulan itu amat terdedah dan belum mendapat perlindungan sewajarnya, berbanding kumpulan dewasa yang telah divaksin.

Beliau berkata lebih berisiko adalah kanak-kanak yang mempunyai komorbid atau tergolong dalam kumpulan kanak-kanak berisiko tinggi (‘immunocompromised’) seperti mempunyai penyakit paru-paru kronik, penyakit jantung, lemah sistem imun badan, kanser, asma dan obesiti.

“Varian Omicron juga akan menyebabkan keadaan penyakit sedia ada menjadi lebih teruk. Sebagai contoh, pesakit mempunyai asma akan mengalami semput yang teruk walaupun kategori jangkitan Covid-19 adalah rendah,” katanya.

Khairy berkata jumlah keseluruhan kanak-kanak berumur di bawah 11 tahun yang dijangkiti Covid-19 menunjukkan peningkatan iaitu 7,730 pada 2020 kepada 379,245 pada 2021.

Beliau berkata jumlah keseluruhan pesakit kanak-kanak di bawah 12 tahun yang dijangkiti Covid-19 tahun ini bagi tempoh Januari hingga pertengahan Mac adalah seramai 119,719 orang.

Mengenai kadar kemasukan kanak-kanak ke wad PICU, beliau berkata ia meningkat sebanyak 94 peratus untuk semua kategori tiga hingga lima dengan peningkatan ketara kategori empat adalah sebanyak 200 peratus dan kategori lima, 125 peratus.

Menjawab soalan sama ada protokol fasa peralihan endemik akan disemak semula sekiranya berlaku peningkatan kes atau penularan varian baharu yang lebih ganas, Khairy berkata KKM bersedia dengan apa sahaja kemungkinan.

“Saya telah nasihatkan jemaah menteri bahawa protokol ini mesti dikaji jika berlaku sebarang kemungkinan dan kita percaya bukan hanya Malaysia, mana-mana negara pun, akan kaji protokol mereka termasuk pembukaan sempadan sekiranya berlaku situasi yang boleh menyebabkan sistem kesihatan lumpuh,” katanya.

Bagaimanapun katanya dengan data dan maklumat yang diperoleh sebelum keputusan peralihan itu dibuat, KKM berharap ia bersifat sehala dan tidak akan berpatah balik.

Mengenai situasi semasa jangkitan varian Omicron di Malaysia, Khairy berkata sehingga semalam (8 Mac), kadar penggunaan katil bukan kritikal untuk kes Covid-19, termasuk kes yang disyaki adalah 69 peratus manakala kadar penggunaan katil ICU bagi kes Covid-19 adalah 42 peratus dan kadar penggunaan ventilator untuk pesakit Covid-19 adalah 25 peratus.

“Jika dilihat secara keseluruhan penggunaan katil bukan kritikal termasuk untuk kes Covid-19 dan bukan Covid-19 adalah 70 peratus, manakala penggunaan keseluruhan katil ICU untuk kes Covid-19 dan bukan Covid-19 adalah 59 peratus.

“Secara keseluruhannya sistem kesihatan kita masih mampu mengendalikan kes Covid dan bukan Covid di negara ini,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR