Vaksin ibarat tali pinggang keledar, kata pakar kesihatan awam

Vaksin berfungsi melawan jangkitan dan dapat mengurangkan risiko kompilasi, tetapi bergantung kepada tahap kesihatan tubuh seseorang, kata Pakar Kesihatan Awam, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Sains Islam Malaysia, Prof Madya Dr Mohd Dzulkhairi Mohd Rani.

Beliau memberi perumpamaan suntikan vaksin Covid-19 seperti memakai tali pinggang keledar ketika berada di dalam kenderaan di jalan raya.

“Vaksin ini menghalang kita daripada terkena jangkitan dan komplikasi yang teruk. Sama juga dengan tali pinggang keledar. Penggunaan tali pinggang keledar tidak menghalang kita daripada mendapat kemalangan jalan raya.

“Tetapi mereka yang memakai tali pinggang keledar, memandu dalam kelajuan yang sama, berlanggar dengan kenderaan yang sama, kaedah kecederaan yang sama didapati bahawa mereka yang tidak memakai tali pinggang keledar mendapat kecederaan yang lebih teruk daripada mereka yang memakainya.

“Jadi, vaksin melindungi seperti mana tali pinggang keledar walaupun tidak ada polis, kita telah terbiasa memakainya. Kita tidak tahu sama ada kita akan berjumpa dengan polis, atau terlibat dengan kemalangan kita tidak tahu tetapi insya-Allah tali pinggang keledar melindungi diri kita, begitu juga dengan vaksin,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel pada Webinar Intelektual Negara 6 bertajuk ‘Vaksin: Sejauh Manakah Ia Mampu Menjadi Penyelamat’ yang disiarkan secara langsung di media sosial Pertubuhan Intelektual Negara, malam tadi.

Dr Mohd Dzulkhairi juga tidak menolak kemungkinan jika peratusan sasaran yang menerima suntikan vaksin tinggi, kadar kematian serta kadar penggunaan unit rawatan rapi (ICU) di seluruh negara dapat diturunkan.

Mengenai pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) beliau berkata, selagi negara tidak mencapai peratusan tertentu dalam soal pematuhan peraturan tersebut, kerajaan tidak mampu mengisytiharkan negara bebas wabak berkenaan.

“Kalau sudah berjaya dicapai angka tersebut, kerajaan boleh isytihar untuk kita buka pelitup muka, kemungkinan pada waktu itu mereka yang telah mendapat dua dos vaksin pun tidak perlu memakai pelitup muka dan boleh berkumpul ramai-ramai.

“Kita tunggu dan kita harap harinya akan sampai, kita doa agar harinya akan sampai, mungkin Syawal atau Ramadan tahun hadapan kita dapat sambut dengan lebih meriah lagi daripada tahun ini,” katanya.

Beliau mengingatkan masyarakat bahawa vaksin bertindak sebagai perlindungan terbaik untuk meningkatkan imunisasi badan dengan mengurangkan risiko dijangkiti Covid-19, bukan menjadi ubat.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata seramai 937,756 individu telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan setakat semalam.

Katanya, seramai 1,667,280 individu telah menerima dos pertama, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan pemberian dos pertama dan kedua di negara ini sebanyak 2,605,036 dos setakat semalam.

BERITA BERKAIT
POPULAR