Vaksin digunakan PICK berkesan lawan varian Delta: KP Kesihatan

Orang ramai tidak perlu bimbang mengenai keberkesanan vaksin Covid-19 yang digunakan di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) kerana ia mampu melawan varian Delta yang ganas itu.

Malaysia setakat ini meluluskan penggunaan vaksin Covid-19 jenis Pfizer, Sinovac, AstraZeneca, Moderna, Sinopharm, Johnson & Johnson (J&J), dan CanSino.

Semalam, Kementerian Kesihatan Republik Indonesia (KKRI) mendakwa keberkesanan vaksin Sinovac semakin menurun dalam kes kematian dan kemasukan ke hospital, selepas tiga bulan suntikan diberikan kepada penerima.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memberi jaminan bahawa semua vaksin yang digunakan itu berkesan menentang varian Delta.

Menjadikan Labuan dan Sarawak sebagai contoh, beliau berkata vaksinasi telah berjaya mengurangkan kadar kemasukan ke hospital, unit rawatan rapi (ICU) dan mengurangkan keperluan pengunaan alat bantuan pernafasan.

Beliau yakin kes di Lembah Klang juga akan berkurangan selepas mencapai 50 peratus penduduk dewasa lengkap dua dos vaksin menjelang 31 Ogos ini.

“Kita sudah mula melihat perkembangan positif. Di Lembah Klang apabila kita mula memberi vaksin kepada warga emas lebih 60 tahun, jumlah pesakit di Hospital Sungai Buloh menurun dan kini kumpulan berusia 40 hingga 59 tahun dan 20 hingga 39 tahun juga menurun dalam seminggu yang lalu,” katanya hari ini.

Dr Noor Hisham berkata daripada 67 penjujukan genom dilaksanakan di negara ini dari 17 Julai hingga Ogos ini, 66 disahkan sebagai varian Delta.

Katanya, kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau R-naught adalah lebih tinggi bagi varian Delta dan oleh itu lebih banyak penularan berbanding virus Wuhan yang mencetuskan pandemik pada 2019.

“R-naught untuk virus Wuhan bermula dari 2.5, bermakna seseorang boleh menjangkiti 2.5 orang tetapi kini virus ini (Delta) dilaporkan pada kadar lima hingga lapan…bermakna jika 100 orang dijangkiti, mereka boleh menjangkitkan 500 hingga 800 orang dalam satu kitaran. Ia sama seperti cacar air (11 hingga 12) dan campak (18),” katanya.

Katanya lebih banyak varian dijangka muncul sambil menambah bahawa mutasi berlaku apabila terdapat jangkitan yang menyebabkan virus masuk ke paru-paru dan membiak.

“Mungkin dalam tiga atau empat kitaran, kita boleh melihat lonjakan mutasi protein yang menjadi rintangan kepada vaksin dan mungkin kita tidak dapat mengesan daripada ujian. Kebimbangan itu wujud tetapi kita perlu melihat kepada penyelesaian, kaedah terbaik untuk membendung jangkitan ini,” katanya.

Semalam jurucakap Pasukan Petugas Covid-19 KKRI, Dr Siti Nadia Tarmizi berkata, keberkesanan vaksin Sinovac semakin menurun kepada 79 peratus bagi kes kematian dan 53 peratus kemasukan ke hospital dalam tempoh tiga bulan, berbanding 95 peratus dan 74 peratus pada Januari hingga Mac

BERITA BERKAIT
POPULAR