Vaksin buatan China mungkin boleh digunakan secara meluas, kata Dr Mahathir

Kerajaan perlu menimbang untuk menggunakan vaksin buatan China secara meluas kepada rakyat dan tidak terlalu bergantung kepada bekalan vaksin Pfizer atau AstraZaneca yang diketahui bekalannya agak terhad, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dr Mahathir berkata krisis pandemik Covid-19 di China sudah pulih selepas mereka menggunakan vaksin buatan sendiri walaupun memiliki jumlah rakyat lebih banyak berbanding Malaysia dan kerajaan mungkin boleh mengambil langkah membeli vaksin dari negara besar tersebut.

“Kalau kita ambil kira negara China dengan 1.4 bilion orang, tak nampak masalah besar bermakna mereka menggunakan vaksin buatan mereka tak mungkin mereka dapat Pfizer atau AstraZaneca.

“Tentu digunakan vaksin buatan China, apa yang kita lihat ialah keadaan di China tidak seperti di India. Jadi mungkin vaksin mereka itu boleh digunakan secara meluas,” kata beliau semasa wawancara bersama Agenda Daily.

Jelas Dr Mahathir lagi, China juga dapat menghasilkan vaksin lebih cepat dan banyak, ia sekaligus dapat menangani masalah kekurangan vaksin yang dihadapi negara ketika ini yang terlalu bergantung kepada dua pengeluar vaksin Covid-19 tersebut.

“Dan negara China ini dapat keluarkan vaksin dengan lebih cepat, lebih banyak… jadi kita kena guna vaksin China ini.

“Waktu ini kita tak tahu vaksin itu bagi perlindungan selama berapa lama, kita tak tahu, negara China pun tak tahu… Dia (China) dah gunakan vaksin itu hampir lapan bulan nampak tak ada lah berlaku wabak menjadi lebih teruk umpamanya macam di Malaysia,” katanya lagi.

Menurut Dr Mahathir, vaksin Pfizer dan AstraZaneca menjadi rebutan negara kaya, ia menjadi punca kelewatan vaksin yang diterima negara dan menyebabkan orang ramai masih belum dapat disuntik kerana perlu menunggu giliran.

“Jadi kita perlu guna vaksin dari China kalau tak cukup daripada Pfizer dan AstraZaneca yang mana negara kaya semua bolot untuk mereka tak bagi kepada kita.

“Jadi kita patut guna vaksin daripada China dan juga daripada Rusia,” ujarnya lagi.

Kerajaan juga perlu memperbanyakkan jenis vaksin dan mempercepatkan suntikan bagi mengurangkan jumlah jangkitan baharu yang setiap hari meningkat, katanya lagi.

“Jadi kita perbanyakkan vaksin percepatkan suntikan, itu satu cara kita kurangkan kes baharu.

“Kerana di Britain selepas mereka menggunakan vaksin, walaupun belum sampai ‘herd immunity’ tetapi jumlah kes baharu berkurang dengan cukup banyak,” katanya lagi.

Februari lalu, Malaysia menerima bekalan vaksin Sinovac pertama dari China sebanyak 300,000 dos untuk digunakan orang ramai.

Terdahulu pada Januari, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menandatangani dokumen Terms Sheet dengan dua syarikat pembekal Pharmaniaga Lifescience Sdn. Bhd. (PLS) dan Duopharma (M) Sdn. Bhd. yang akan membekalkan vaksin dari China da Rusia.

Syarikat PLS akan membekalkan sebanyak 12 juta dos COVID-19 CORONAVAC, SARS-COV-2 Vaccine (Vero Cell) Inactivated yang dihasilkan oleh Sinovac Life Science Co. Ltd.

Manakala, Syarikat Duopharma (M) Sdn. Bhd. pula akan membekalkan sebanyak 6.4 juta dos vaksin Sputnik V yang dihasilkan oleh Gamaleya Research Institute of Epidemiology and Microbiology di Rusia.

BERITA BERKAIT
POPULAR