
Datuk Seri Nazri Aziz semasa wawancara dengan Agenda Daily. Foto Hiekal Rosly.
Veteran UMNO, Datuk Seri Nazri Aziz senada dengan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mahu menyelesaikan isu berkaitan kenaikkan harga barang sebelum mengambil langkah membubarkan Parlimen bagi memberi laluan pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) diadakan.
Nazri menggesa kerajaan perlu memberi keutamaan kepada isu harga barang yang membebankan rakyat sebelum mengadakan PRU-15 kerana rakyat memerlukan wang yang mencukupi untuk meneruskan kehidupan mereka.
“Saya setuju dengan perdana menteri. Keutamaan kita sekarang adalah kesusahan rakyat dan kita semua tahu inflasi berlaku sekarang, jadi kita kena utamakan rakyat.
“Kita perlu cari jalan untuk mengatasi inflasi dan memastikan rakyat ada wang yang cukup untuk menyara kehidupan.
“Itu lebih penting berbanding mementingkan diri sendiri secara politik dengan merasakan ini waktu yang sesuai untuk PRU,” katanya dipetik laporan Malaysiakini.
Jelasnya, BN akan dilihat mementingkan diri sendiri jika masih terus mahu mengadakan PRU-15 dan menegaskan Ismail Sabri ketika ini mendapat sokongan semua Ahli Parlimen termasuk daripada blok pembangkang.
“Jika itu yang anda fikir, yang inflasi bukan perkara penting dan pilihan raya lebih penting, itu mementingkan diri sendiri.
“Ahli Parlimen dari kedua-dua pihak kini menyokong Perdana Menteri jadi tiada sebab langsung untuk buat pilihan raya.
“Bagaimana Ahli Parlimen daripada pihak lain sokong Perdana Menteri, tetapi parti Perdana Menteri sendiri tidak menyokongnya?” katanya lagi.
Terdahulu, Ismail Sabri membayangkan tidak akan tergesa-gesa mengadakan PRU-15 dalam masa terdekat.
Ini bertentangan dengan spekulasi bahawa PRU-15 mungkin diadakan sebelum 2022 berakhir.
Dalam satu temu bual dengan Nikkei Asia yang diterbitkan hari ini, beliau memberitahu bahawa kenaikan kos dalam perbelanjaan makanan dan sara hidup lain adalah antara sebab untuk menolak PRU diadakan lebih awal.
PRU sepatutnya perlu dipanggil menjelang September tahun depan.
“Kita perlu menunggu masa yang sesuai (untuk mengadakan PRU). Kita sedang menghadapi tempoh inflasi yang meningkat dengan harga yang tinggi… adakah anda rasa ini masa yang sesuai?,” katanya kepada akhbar kewangan Jepun, yang terbesar di dunia dengan edaran harian melebihi tiga juta.