Utamakan kes solar Rosmah: Hakim

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengingatkan peguam bela kepada Rosmah Mansor, supaya memberi keutamaan kepada kes rasuah projek tenaga solar di sekolah luar bandar Sarawak dihadapi isteri bekas Perdana Menteri Najib Razak, kerana ia adalah kes jenayah.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan berkata, beliau mengambil maklum bahawa pasukan pembelaan mempunyai jadual yang ketat, namun meminta mereka menulis surat kepada mahkamah bagi menangguhkan kes lain.

“Kes ini hendaklah diberi keutamaan. Ini adalah kes jenayah dan membabitkan saksi akhir pembelaan,” katanya memetik laporan BH, hari ini.

Mohamed Zaini berkata demikian selepas menerima penjelasan peguam Rosmah apabila diberitahu bahawa saksi pembelaan kedua, bekas Pegawai Khas Bahagian First Lady of Malaysia (FLOM) Jabatan Perdana Menteri, Siti Azizah Sheikh Abod, tidak dapat hadir memberikan keterangan pada hari ini berikutan masih menjalani kuarantin wajib di rumah sekembali daripada mengerjakan umrah.

Peguam bela, Azrul Zulkifli Stork, memberitahu mahkamah, mengikut jadual asal, Siti Azizah sepatutnya pulang ke tanah air pada 27 Januari lalu dan selepas menjalani kuarantin wajib selama tujuh hari, saksi itu sepatutnya memberikan keterangan pada hari ini seperti yang ditetapkan oleh mahkamah sebelum ini.

Azrul berkata, bagaimanapun Siti Azizah terpaksa menunda penerbangan pulang kepada 29 Januari lalu kerana penerbangan dari Abu Dhabi ke Kuala Lumpur pada tarikh asal dibatalkan yang menyebabkan tempoh kuarantin wajib di rumah hanya berakhir esok

Selepas mendengar penjelasan peguam, Mohamed Zaini kemudian menangguhkan prosiding kepada kepada 15 Februari ini.

Pada 15 November 2018, Rosmah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas dua tuduhan meminta rasuah wang tunai RM187.5 juta dan menerima RM1.5 juta berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di sekolah luar bandar di Sarawak.

Bagi pertuduhan pertama, Rosmah didakwa meminta suapan untuk dirinya sendiri RM187.5 juta, yang dibuat melalui bekas pegawai khasnya Rizal Mansor, iaitu 15 peratus nilai kontrak daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin.

Wang berkenaan sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan projek dikenali sebagai Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid dan Penyelenggaraan serta Operasi Genset/Diesel bagi 369 Sekolah Luar Bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

Bagi pertuduhan kedua, beliau didakwa menerima rasuah berjumlah RM1.5 juta daripada Saidi sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan projek itu.

Rosmah didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama.

Sabit kesalahan, ia memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.

Pada 10 April 2019, Rosmah sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas pertuduhan menerima suapan RM5 juta daripada Saidi menerusi Rizal kerana membantu Jepak Holdings mendapatkan projek serupa.

Semua kes itu dipindahkan dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan yang bermula 5 Februari 2020.

BERITA BERKAIT
POPULAR