Usul SOSMA ditolak sebelum ini dibentang semula di Dewan Rakyat

July 26, 2022 · Isu semasa

Usul untuk melanjutkan tempoh kuat kuasa Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dibentang semula Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Dewan Rakyat hari ini.

Usul tersebut dibentang oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin selepas ia sebelum ini ditolak pada Mac lalu di Dewan Rakyat kerana gagal mendapat sokongan majoriti di Dewan Rakyat.

Dalam pembentangan kali ini, Hamzah mengusulkan ia dilanjutkan lima tahun lagi mulai 31 Julai ini, bagi membolehkan pihak berkuasa terus menggunakan peruntukan kuasa khas mengikut subseksyen berkenaan.

Langkah itu akan membolehkan polis melanjutkan tempoh penahanan individu yang ditangkap dan ditahan mengikut SOSMA sehingga 28 hari.

Ketika membentangkan usul itu, Hamzah menegaskan Subseksyen 4(5) SOSMA perlu dilanjutkan bagi memberi tempoh mencukupi untuk polis melengkapkan siasatan, dalam usaha menangani ancaman terhadap kedaulatan negara, keselamatan dan ketenteraman awam.

Tegasnya, siasatan membabitkan kesalahan keselamatan, khususnya jenayah keganasan dan jenayah terancang, adalah rumit dan kompleks serta memerlukan masa untuk dilengkapkan.

Katanya, lanjutan masa itu diperlukan polis bagi mendapatkan keterangan daripada individu ditahan ketika pengumpulan bukti bagi tujuan pendakwaan, termasuk pengesanan rakan subahat yang masih bebas.

“Sepanjang dua kali sesi perbahasan berkaitan SOSMA tahun ini, banyak isu hak individu dibangkitkan.

“SOSMA tetap menyediakan peruntukan yang menghormati hak individu seperti di seksyen 5, yang membenarkan orang ditahan berunding dengan pengamal undang-undang pilihannya dan peluang jaminan jika memenuhi kriteria seperti dinyatakan dalam seksyen 13 SOSMA 2012

“Selain itu, subseksyen 4(3) jelas menyatakan tiada seorang pun boleh ditangkap dan ditahan di bawah seksyen ini semata-mata atas kepercayaan politik atau aktiviti politiknya.

“Namun ini tidak bermakna ahli politik kebal daripada siasatan di bawah SOSMA. Jika Ahli Yang Berhormat, termasuk diri saya sendiri atau sesiapa sahaja melakukan kesalahan keselamatan, maka tindakan tetap boleh diambil di bawah SOSMA,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Pada masa sama, beliau menjelaskan walaupun SOSMA memperuntukkan 28 hari untuk siasatan, realitinya polis hanya mempunyai tempoh 21 hari.

Katanya, polis perlu menyerahkan Kertas Siasatan yang lengkap kepada Jabatan Peguam Negara untuk arahan lanjut ketika tujuh hari sebelum tamat tempoh 28 hari berkenaan.

“Tempoh 28 hari ini sangat penting kerana polis memerlukan masa terutamanya bagi meyakinkan saksi untuk memberikan pernyataan kerana ia membabitkan keselamatan saksi dan ahli keluarga,” katanya.

Hamzah turut menegaskan tidak wajar untuk membandingkan SOSMA dengan Akta Kesalahan Keselamatan (ISA) 1960, kerana banyak perbezaan yang digubal untuk membuktikan SOSMA memberi peluang dan hak yang cukup untuk orang tahanan dari sudut undang-undang.

“Jika kita ingin berhujah mengenai konsep keadilan, akta ini juga memberikan keadilan buat orang yang ditahan, seperti peluang berjumpa peguam dan kes kesalahan keselamatan ini juga dibicarakan di Mahkamah Tinggi.

“Perlu diingat, keadilan perlu dilihat dalam konteks yang lebih luas dan keselamatan negara serta rakyat secara keseluruhan adalah sesuatu yang perlu diberi keutamaan,” katanya.

Berita berkaitan
Polis sedang kesan individu hina Sultan Selangor, dipercayai berada luar negara
March 27, 2024· Isu semasa
Saman fitnah: Rayuan Jamal ditolak, perlu bayar RM300 ribu kepada Kok
March 27, 2024· Isu semasa
Ahli Parlimen blok kerajaan juga tak setuju cukai SST dinaikkan
March 5, 2024· Isu semasa
Dewan Rakyat: Usul gantung Wan Saiful ditarik balik
March 5, 2024· Politik
Popular
Netizen persoal isu ‘roadtax’, MyJPJ jika bawa kenderaan orang lain
February 10, 2023
Ceroboh ruang udara: Malaysia kemuka bantahan, panggil Duta China
June 1, 2021
Kembalikan deria bau
November 9, 2021
Kenapa generasi muda semakin hilang adab?
February 14, 2023
Lagi Isu semasa terkini
Kata masuk pelaburan berbilion, Rafidah terkejut kilang tayar tutup
March 7, 2024 · Isu semasa
Laman akaun Facebook tak boleh diakses jutaan pengguna
March 5, 2024 · Isu semasa
Isteri Tun Daim cabar kesahihan pertuduhan SPRM di Mahkamah Tinggi
March 5, 2024 · Isu semasa
Sekarang siapa jadi kerajaan, Muhyiddin kritik isu kejatuhan ringgit
February 24, 2024 · Isu semasa
Pelarasan tarif air baharu, pengguna dijangka merasai kenaikan bermula 1 Feb
January 17, 2024 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Mahathir dakwa SPRM ugut Mirzan untuk dakwa dirinya
January 22, 2024
[VIDEO] Siasat saya senang, yang susah siasat PM sebab ada kuasa, kata Mahathir
January 22, 2024

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok