
Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).
Usul pelanjutan Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) akan dibentangkan pada sidang Dewan Rakyat hari ini.
Usul tersebut yang sebelum ini gagal diluluskan selepas pembangkang menolaknya berada dalam kertas jadual Aturan Mesyuarat dan Usul-usul kedua selepas pembentangan bacaan kedua Rang Undang-undang Antigangguan Seksual 2021 dibawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
“Bahawa Majlis ini membuat suatu ketetapan untuk membatalkan keputusan Majlis Mesyuarat bertarikh 23 Mac 2022 berkenaan dengan usul menurut subsesyen 4(11), Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 supaya subsesyen 4(5), Akta ini hendaklah terus berkuat kuasa bagi tempoh 5 tahun bagi mulai dari 31 Julai 2022,” menurut dalam kertas Aturan Mesyuarat hari ini.
Sebelum ini, usul sama dibawa Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin di Dewan Rakyat pada Mac semasa sidang Dewan Rakyat lalu tetapi tidak mendapat kelulusan dewan.
Usul itu ditolak selepas keputusan undian belah bahagian menunjukkan hanya 84 Ahli Parlimen menyokong, manakala 86 Ahli Parlimen tidak menyokong selain 50 Ahli Parlimen tidak hadir.
Usul kerajaan tersebut bertujuan melanjutkan tempoh pelaksanaan Subseksyen 4(5) SOSMA 2012 bagi tempoh lima tahun lagi.
Pelanjutan subseksyen tersebut adalah memberi instrumen siasatan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tahanan mengikut SOSMA.