Usul pindaan Perlembagaan lulus dua pertiga, pembangkang akhirnya sokong

Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2022 bagi mengecualikan pendaftaran pemilih automatik kepada kerabat diraja diluluskan di Dewan Rakyat hari ini dengan majoriti dua pertiga dengan turut mendapat sokongan pembangkang.

Berbeza dengan insiden semalam yang menyaksikan usul kerajaan gagal diluluskan sehingga pembangkang dikecam hebat kerana tidak menghormat memorandum persefahaman (MoU), Ahli Parlimen (MP) pembangkang hari ini memberi sokongan penuh kepada usul pindaan tersebut.

Pindaan Perlembagaan itu bagi mengecualikan nama Raja dan pasangan, Yang di-Pertua negeri dan pasangan, bakal raja, waris ganti dan waris lain raja dan pasangan serta mana-mana individu lain daripada disenaraikan dalam daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

RUU itu berjaya diluluskan pada bacaan kali kedua dan ketiga selepas mendapat sokongan melebihi dua pertiga atau sekurang-kurangnya 148 daripada 222 Ahli Parlimen, susulan undian belah bahagian dilaksanakan.

Undian secara belah bahagian perlu dilaksanakan bagi RUU itu kerana Perkara 159 Perlembagaan memperuntukkan sesuatu RUU bagi meminda Perlembagaan, selain yang dikecualikan daripada peruntukan itu, hanya boleh diluluskan di Parlimen dengan sokongan tidak kurang dua pertiga pada bacaan kali kedua dan ketiga.

“Keputusan belah bahagian seperti berikut. Yang bersetuju 181 undi, tidak hadir 39 dan tiada yang tidak bersetuju.

“Jumlah undian adalah 220. Dengan itu, RUU ini diluluskan,” kata Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun.

Keputusan majoriti dua pertiga turut diperoleh pada bacaan kali ketiga, dengan 178 undi bersetuju dan 42 undi tidak hadir, sekali gus RUU itu diluluskan di Dewan Rakyat.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, membentangkan RUU itu sebelum ia dibahaskan oleh 14 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.

RUU itu meminda Perlembagaan dengan menambah Perkara 119A, bagi mengecualikan golongan diraja daripada didaftarkan secara automatik dalam daftar pemilih, seperti diperuntukkan dalam Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan.

Pengecualian daripada kerabat diraja berkenaan didaftarkan sebagai pemilih secara automatik adalah bagi memastikan institusi diraja kekal berkecuali dan tidak memihak kepada mana-mana parti politik.

BERITA BERKAIT
POPULAR