Usul lanjut tempoh tahanan 28 hari SOSMA tidak dapat sokongan

Sokongan untuk meluluskan usul yang dibawa Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhubung pelanjutan tempoh kuat kuasa Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) tidak mendapat sokongan majoriti di Dewann Rakyat hari ini.

Usul tersebut dibentangkan awal hari ini bagi membolehkan individu yang disiasat bawah akta tersebut ditahan selama 28 hari, ia bagaimanapun tidak mendapat sokongan apabila hanya 84 ahli Parlimen (MP) bersetuju berbanding 86 yang tidak bersetuju dalam proses undi belah bahagi tersebut.

Sementara itu, seramai 50 orang lagi MP tidak hadir.

Susulan kegagalan mendapat sokongan tersebut, subseksyen berkenaan – yang membenarkan seseorang suspek ditahan sehingga 28 hari tanpa perlu dihadapkan di hadapan majistret – tidak akan lagi berkuat kuasa selepas ia luput pada 31 Julai 2022

Terdahulu, usul itu dikemukakan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin, sebelum dibahaskan oleh 19 orang MP di dewan.

Tempoh kuat kuasa Subseksyen 4(5) SOSMA dihadkan kepada lima tahun saja bagi mewujudkan elemen semak dan imbang di dalam penguatkuasaannya, namun ia boleh disemak dan dilanjutkan jika mendapat kelulusan Parlimen.

Jelas Hamzah, tempoh 28 hari sebenarnya tidak mencukupi kerana kes disiasat di bawah SOSMA adalah sangat rumit dan kompleks.

Beliau juga menafikan SOSMA sebagai undang-undang zalim, selain menegaskan Subseksyen 4(3) memperuntukkan tiada seorang pun boleh ditangkap dan ditahan mengikut seksyen ini semata-mata atas kepercayaan atau aktiviti politik mana-mana individu.

Sejak 2016 sehingga Januari 2022, katanya, seramai 3,717 individu ditahan mengikut SOSMA, dengan 400 daripadanya ditahan kerana terbabit elemen kumpulan pengganas, 321 terbabit aktiviti sindiket penyeludupan manusia, 1,838 kerana kesalahan pemerdagangan manusia dan 1,030 di bawah kesalahan jenayah terancang.

Katanya, SOSMA juga digunakan untuk menghukum pengganas yang menyerang Sabah yang dilancarkan Jamalul Kiram III pada 2013, dengan 551 individu ditahan mengikut SOSMA, 31 individu dituduh dan lapan daripadanya dihukum gantung sampai mati.

“Selain itu, antara kes lain membuktikan Subseksyen 4(5) diperlukan, adalah serangan di Movida Kitchen Bar and Club Lounge di Puchong, Selangor serta sindiket menyeludup keluar 131 warga Sri Lanka dari perairan Malaysia untuk ke negara ketiga.

“Tanpa Subseksyen 4(5) dilanjutkan dan jumlah tahanan 28 hari tidak dikekalkan, kualiti siasatan pihak polis dikhuatiri akan terjejas kerana ia dibuat secara tergesa-gesa iaitu selama 24 jam saja untuk menjalankan siasatan, menyediakan dan melengkapkan Kertas Siasatan, seterusnya mengemukakannya kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan selanjutnya.

“Pada hemat saya, pihak yang tidak bersetuju dengan SOSMA 2012 atau tidak menyokong usul melanjutkan Subseksyen 4(5) ini adalah golongan yang ingin membuka ruang kepada penjenayah dan pengganas bermaharajalela dalam negara ini,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR