Usul 1MDB, Bank Negara dibincang di Kamar Khas Dewan Rakyat petang ini

Usul berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan penyelewengan institusi, khasnya Bank Negara Malaysia (BNM), akan dirunding dalam sesi Kamar Khas di Dewan Rakyat, petang ini.

Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun membenarkan usul dibawah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, setelah mendapati ianya memenuhi kriteria sebagai isu berkepentingan awam dan perlu disegerakan.

“Oleh demikian, saya membenarkan usul berkenaan untuk dirundingkan di sesi Kamar Khas jam 2.30 petang ini yang mana saya sendiri akan mempengerusikannya.

“Ia dirundingkan bukan dibahaskan. Kedudukan kamar khas serupa saja dengan majlis ini (sidang di Dewan Rakyat) kerana ia terbuka kepada orang ramai dan dengan kita bawa ke Kamar Khas, kita tidak akan ganggu aturan urusan mesyuarat,” katanya pada sesi Dewan Rakyat hari ini.

Ketika Anwar dan Ahli Parlimen Kota Raja, Mohamad Sabu bangkit meminta supaya isu itu dibahaskan di Dewan Rakyat,

Azhar menjelaskan tumpuan perbahasan adalah berfokus kepada Usul Menjunjung Kasih dan Pembahasan Titah Diraja yang bermula hari ini.

“Ini (usul Anwar) spesifik kepada Bank Negara iaitu pembongkaran yang terbaru. Mengenai 1MDB, kita semua sudah tahu terdapat kes di mahkamah yang sedang ‘pending’ (masih berjalan), jadi prinsip subjudis itu terpakai.

“Jadi kita terpaksalah mengikut prinsip sedia ada,” katanya memberi penjelasan setelah Anwar dan Ahli Parlimen Kota Raja, Mohamad Sabu bangkit meminta supaya isu itu dibahaskan.

Azhar turut menjelaskan keputusan itu dibuat bagi membolehkan Ahli Parlimen, termasuk kerajaan dan pembangkang, mempunyai masa mencukupi bagi membahasakan Usul Menjunjung Kasih dan Pembahasan Titah Diraja.

Semalam, Anwar mengemukakan satu usul kepada Azhar bagi membincangkan pembongkaran amalan rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan institusi khasnya Bank Negara (BNM) berkaitan skandal 1MDB.

Anwar menerusi hantaran di Facebook beliau memaklumkan usul itu dikemukakan kepada Azhar susulan keterangan bekas Pengerusi Goldman Sachs Group Inc Asia Tenggara Tim Leissner di Mahkamah Persekutuan New York, Amerika Syarikat.

Leissner, 52, yang juga saksi utama kerajaan dalam perbicaraan rasuah membabitkan bekas rakan sekerjanya, Roger Ng, memberi keterangan di Mahkamah Brooklyn, New York.

Sebelum ini, Bloomberg melaporkan Leissner mengaku telah menggunakan wang yang diterima daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) untuk membeli rumah bernilai AS$10 juta (RM41.8 juta) di London untuk Rohana, lapor Bloomberg.

Leissner, memberitahu pendakwa raya AS, Drew Rolle ketika memberi keterangan di Mahkamah Persekutuan di Brooklyn, New York, AS dalam perbicaraan kes rasuah bekas rakan sekerjanya, Roger Ng, bahawa Rohana telah mengancam untuk mendedahkan penglibatannya dengan 1MDB.

Hubungan mereka kemudian berakhir apabila Leissner berkahwin dengan selebriti Kimora Lee Simmons.

Susulan itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka kertas siasatan dan mendapatkan keterangan daripada Rohana berhubung pembelian rumah itu.

BERITA BERKAIT
POPULAR