
Jenazah Masyitoh Ibrahim, 37, dan dua anak lelakinya Muhammad Ziyad Zikri Sharudin, 7, dan Muhammad Ziyad Haziq, 5, dikebumikan dalam satu liang lahat di Kampung Paya Kerchut, Alor Setar, petang ini (26 Jun).
Seorang guru agama dan dua anaknya disahkan lemas setelah kereta Proton Persona yang dinaiki terbabas sebelum terjunam ke dalam sungai di Jambatan Pantai Cicar, Kuala Ketil, dekat Baling, petang semalam.
Mashitoh Ibrahim, 37, guru agama Sekolah Kebangsaan Kampung Selarong itu ditemukan bersama dua anaknya, Mohd Ziyad Zikri Sharudin, 7, dan Mohd Ziyad Haziq, 5, di bahagian belakang kereta terbabit yang tenggelam di dasar sungai berkenaan.
Proton Persona itu ditarik dari dasar sungai, pada kedalaman hampir lima meter dengan bantuan kren sebelum ketiga-tiga mangsa ditemukan.
Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah Syufaat Kamaron berkata operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan oleh pasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Amanjaya dan Baling sejurus menerima panggilan, jam 6.42 petang.
Beliau berkata, pada 11 malam tadi, bomba berjaya mengesan lokasi kedudukan kereta Proton Persona berkenaan di dasar sungai berkenaan.
“Anggota kami melakukan penandaan di lokasi yang dikenal pasti dan selepas itu, anggota penyelam dari Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) yang melakukan selaman mengesahkan kenderaan itu di lokasi kejadian.
“Proses untuk menaikkan kenderaan itu dilakukan bermula 11.30 malam sehingga 3.30 pagi tadi dan kereta itu berjaya dibawa naik di atas jambatan.
“Ketiga-tiga beranak itu ditemukan tidak tersepit di bahagian belakang kereta itu dan berjaya dikeluarkan sebelum diserahkan kepada pihak polis,” katanya menurut laporan Harian Metro.
Syufaat berkata, mayat pertama yang berjaya dikeluarkan adalah si ibu pada jam 3.32 pagi disusuli dua anaknya selang dua minit kemudian.
Difahamkan, mayat tiga beranak itu dihantar ke Hospital Kulim untuk tindakan lanjut.