Usaha pulih ekonomi ambil masa, kata Muhyiddin menolak tuduhan UMNO

Majlis Pemulihan Negara (MPN) menolak dakwaan UMNO bahawa badan yang ditubuhkan kerajaan baharu gagal membentangkan pelan ekonomi bagi memulihkan ekonomi negara.

Malah Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelaskan usaha memulihkan ekonomi negara yang terjejas akibat pandemik Covid-19 tidak boleh berlaku dalam masa singkat atau dalam tempoh sekelip mata sahaja.

“Pemulihan memerlukan tempoh, tidak boleh sekelip mata selesai masalah yang telah berlaku yang menyebabkan ekonomi kita lemah dan sebagainya. Negara kita berhadapan dengan masalah pandemik yang masih belum selesai.

“Jadi, kalau kita realistik tentang perkara itu, maka kita tahu bagaimana kita hendak harapkan pemulihan ini berlaku.

“Saya cukup jelas, sebelum itu kita sudah rancang, fasa satu, fasa dua, fasa tiga dan fasa empat, sudah habis. Itu waktu saya (jadi Perdana Menteri), maknanya fasa satu pada kes-kes masih tinggi, fasa dua kita tahukan, pindah-pindah dan sekarang tidak ada lagi.

“Itu kejayaan kita dengan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih longgar boleh makan di kedai dan dengan apa yang kita lihat hari ini, hasil daripada usaha kita.

“Waktu itu saya masih Pengerusi MPN sebagai Perdana Menteri dan itu langkah-langkah yang saya ambil tetapi sekarang ini saya bukan Perdana Menteri tetapi kerana hasrat saya hendak tolong rakyat, tolong kerajaan, saya minta tugas ini,” katanya dalam wawancara bersama Sinar Harian yang disiarkan hari ini.

Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) dan bekas Perdana Menteri berkata, dakwaan UMNO adalah satu kenyataan politik kerana MPN baharu sahaja ditubuhkan dan peranannya bukan seperti agensi atau kementerian yang diwujudkan untuk menyelesaikan semua masalah.

Beliau berkata, MPN ditubuhkan mengikut terma rujukan tertentu bagi membantu kerajaan membuat keputusan tepat mengenai perancangan, dasar dan strategi tepat untuk memulihkan negara.

“Kita bukan pelaksana, kita buat keputusan, mengenai dasar dan strategi bagaimana. Jadi, kalau dia faham tentang itu, ini tugas saya. Jadi, kalau hari ini harga ayam naik jangan hendak salahkan saya kerana kita ada kementerian yang jaga harga ayam tu, ada penguatkuasa yang jaga harga ayam tu.

“Jadi ini kadang-kadang orang tidak faham. Bila banjir berlaku, dia tanya apa MPN buat? Bukan saya kata saya tidak bertanggungjawab, memang bila sudah berlaku banjir, kesannya kepada ekonomi bagaimana hendak pulih, takkan hari banjir berlaku esok sudah pulih.

“Kalau ada lampu ajaib jual kepada saya RM100 saya beli, saya kata selesai, esok selesai, mana boleh kerana keadaannya sudah teruk begini, negara lain di dunia pun begitu,” katanya.

Muhyiddin yang juga Pengerusi MPN berkata demikian ketika mengulas tindakan UMNO mendakwa beliau sebagai Pengerusi MPN dilihat gagal membentangkan pelan ekonomi untuk pulihkan negara.

BERITA BERKAIT
POPULAR