
Bencana banjir.
Kira-Kira 300 penduduk di tiga kampung di sini yang enggan berpindah awal ke pusat pemindahan sementara (PPS) menyukarkan usaha Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk menyelamatkan mereka yang terkandas akibat banjir.
Kampung terbabit ialah Kampung Pengkalan Pauh, Daram Buaya dan Kampung Wakaf Bunut yang terletak di Pasir Puteh, menurut laporan Bernama.
Ketua Balai Bomba Dan Penyelamat Pasir Puteh PPGB Azhar Elmi Mustofar berkata antara alasan yang diberikan ialah mereka bimbang rumah diceroboh pencuri dan rumah tidak akan dimasuki air.
“Walaupun diberi nasihat beberapa kali oleh pihak kami supaya berpindah segera tetapi ada yang masih degil dengan memberi pelbagai alasan,” katanya kepada kepada pemberita selepas melawat kawasan berisiko banjir dan PPS Sekolah Kebangsaan Wakaf Raja di sini hari ini.
Justeru, beliau menggesa penduduk yang rumah mereka dinaiki air supaya segera berpindah ke PPS dan paras air berada pada tahap bahaya.