Usaha Kerajaan PN meriahkan semula Ramadan: Muhyiddin

Umat Islam patut bersyukur kerana tahun ini aktiviti sempena Ramadan kembali pulih seperti sedia kala, walaupun masih terikat dengan prosedur operasi standard (SOP) ketika negara memasuki fasa peralihan ke endemik.

Bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata keadaan negara kini, dengan beberapa kelonggaran yang diberikan adalah hasil kejayaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang dilaksanakan Kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Menurutnya Kerajaan PN mengambil langkah pantas dan berani dengan menempah lebih 87 juta dos vaksin membabitkan perbelanjaan kira-kira RM4.36 bilion untuk melaksanakan PICK.

“Saya sendiri merupakan antara individu pertama yang menerima dos vaksin pada 24 Februari 2021.

“PICK kini telah menyaksikan lebih 98 peratus populasi dewasa di negara ini sudah menerima dos vaksinasi lengkap manakala lebih 67 peratus populasi dewasa sudah menerima dos penggalak.

“Keadaan ini juga membolehkan hampir kesemua sektor kehidupan termasuk sektor ekonomi dibuka seperti biasa temasuk aktiviti-aktiviti di masjid, surau dan rumah-rumah ibadat lain,” kata beliau yang juga Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN).

Muhyiddin berkata menerusi cadangan MPN juga Malaysia sudah berpindah daripada pandemik memasuki fasa endemik dan pintu sempadan negara juga telah dibuka sejak 1 April lalu.

“Inilah nikmat besar yang kita perolehi daripada program imunisasi tersebut.

“Peluang untuk berbuka puasa, menunaikan solat sunat tarawih dan menyertai aktiviti-aktiviti ihya Ramadan di masjid atau di surau pada tahun ini adalah satu nikmat yang tidak dapat kita rasakan pada Ramadan tahun lepas,” katanya sambil mengucapkan selamat menyambut Ramadan Al-Karim kepada seluruh umat Islam di negara ini.

Pada masa sama, Muhyiddin mengingatkan rakyat negara ini tidak lalai dan terus mematuhi SOP yang ditetapkan, seperti memakai pelitup muka, menjaga penjarakan fizikal, tidak bersalaman serta kerap menggunakan cecair pembasmi kuman ketika berada di masjid atau surau.

“Marilah kita gunakan peluang ini untuk berlumba-lumba meningkatkan amalan seperti bersedekah, solat sunat, membaca al-Quran dan qiamullail sepanjang Ramadan ini bagi mendapatkan keredaan Allah SWT. Semoga setiap amalan kita di bulan penuh berkat ini diterima Allah hendaknya,” katanya.

Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang turut mengucapkan selamat menyambut Ramadan kepada umat Islam di negara ini.

BERITA BERKAIT
POPULAR