
Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor turut mengucapkan selamat menyambut kepada kaum Cina.
Kerajaan Kedah tidak pernah membeza-bezakan, apa lagi mendiskriminasi mana-mana kaum bagi mendapat hak yang selayaknya di sisi Perlembagaan, kata Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Malah katanya kerajaan negeri tidak pernah meminggirkan masyarakat bukan Islam termasuk 276,000 penduduk keturunan Tionghua yang tinggal di Kedah.
Katanya beliau bertanggungjawab terhadap semua 2.2 juta rakyat Kedah. termasuk kaum Tionghua.
“Saya bertanggungjawab untuk memastikan semua warga negeri ini sentiasa mendapat kehidupan yang baik, makmur dan sejahtera dalam mana-mana aspek termasuk hubungan dalam keluarga, komuniti, negeri dan negara,” katanya dalam kenyataan khas hari ini (21 Januari 2023) sempena sambutan Tahun Baru Cina – tahun arnab.
Menurutnya arnab melambangkan ketangkasan, kepantasan dan kemahiran, selain tabiat semula jadi yang baik untuk kita jadikan pedoman dalam menjalani kehidupan.
“Bagaimanapun, dalam cerita arnab dengan kura-kura, ada perkara yang kita tidak boleh contohi daripada arnab iaitu sikap ‘over confident’ dan memandang rendah kepada orang lain hingga akhirnya arnab dikalahkan.
“Inilah pentingnya konsistensi dalam sesuatu pekerjaan yang kita lakukan untuk memastikan kejayaan, dan jangan sekali-kali memandang rendah pada orang lain.
“Saya melihat ada semangat permuafakatan atau kerjasama yang baik dalam budaya orang Cina untuk sama-sama naik dan berjaya.
“Marilah kita berkongsi segala nilai yang baik dari pelbagai latar belakang dan budaya bersama-sama membangunkan dan memajukan lagi negeri ini,” katanya lagi.
Muhammad Sanusi berkata slogan “Kedah Sejahtera – Nikmat Untuk Semua” yang dijunjung kerajaan negeri adalah bukti komitmen kerajaan untuk membawa kesejahteraan kepada rakyat Kedah tanpa meminggirkan mana-mana kaum, agama atau latar belakang.
Menurutnya anggota Exco serta pegawai-pegawai kerajaan sentiasa melihat semua rakyat Kedah mempunyai hak yang sama di sisi undang-undang dan perlembagaan serta sentiasa dihormati.
Beliau turut mengajak rakyat Kedah sama-sama mengindahkan kehidupan dalam suasana aman dan sejahtera untuk terus menikmati kekayaan negeri tersebut.