UPSR mansuh mulai tahun ini, PT3 2021 dibatalkan

Kerajaan bersetuju memansuhkan sepenuhnya Ujian Pencapaian Sekolah Rendah mulai tahun ini. - Gambar Twitter

Kerajaan bersetuju memansuhkan sepenuhnya Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) mulai tahun ini, manakala peperiksaan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) bagi tahun ini pula dibatalkan.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata keputusan memansuhkan UPSR dibuat hasil libat urus dengan pelbagai pihak sejak peperiksaan itu dibatalkan tahun lalu akibat Covid-19.

“Sejak pembatalan UPSR tahun lalu, kementerian membuat penelitian mengenai kaedah pentaksiran. Kita juga lihat apa kaedah terbaik dilaksanakan di negara lain, di peringkat sekolah rendah.

“Kemudian kita meneruskan dengan libat urus bersama guru besar, guru, Persatuan Ibu Bapa dan Guru serta persatuan berkaitan. Hasilnya, kita mengambil keputusan bahawa UPSR dimansuhkan sepenuhnya mulai tahun ini,” katanya pada sidang media khas di ibu negara, hari ini.

Radzi berkata, susulan pemansuhan UPSR, pihaknya akan memperkasakan pentaksiran berasaskan sekolah selain Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK) bagi murid yang berhasrat memasuki sekolah berasrama penuh dan sebagainya.

Ditanya apakah input yang diperoleh menerusi libat urus sehingga kementerian membuat keputusan memansuhkan UPSR, Radzi berkata, antara maklum balas yang diterima adalah guru terpaksa memberi tumpuan yang lebih kepada subjek UPSR sehingga mengekang kreativiti guru dalam pengajaran.

“Ada guru menceritakan bagaimana mereka terpaksa mencuri masa mata pelajaran lain untuk buat persediaan subjek UPSR dan ini mengehadkan kreativiti guru di sekolah.

“Antara yang dikongsi ibu bapa pula bagaimana tumpuan pada peperiksaan ini memberi ruang terhad dalam aspek lain pendidikan. Ada ibu bapa cerita mereka turut tertekan untuk sediakan anak-anak mereka bagi menduduki UPSR,” katanya.