Untung bersih FGV Holdings Bhd 2021 naik RM1.17 bilion

FGV Holdings Bhd – anak syarikat Felda – mencatat untung bersih bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 (TK2021) meningkat kepada RM1.17 bilion daripada RM146.16 juta setahun lalu.

Hasil juga melonjak sebanyak 39 peratus kepada RM19.58 bilion daripada RM14.08 bilion sebelumnya, kata FVG dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

“Peningkatan ketara dalam prestasi itu disebabkan terutamanya oleh harga minyak sawit mentah (MSM) yang lebih tinggi ditambah dengan penambahbaikan daripada semua sektor dan caj nilai saksama yang lebih rendah ke atas perjanjian pajakan tanah (LLA) dalam tahun kewangan semasa,” kata kumpulan perladangan itu.

Memetik Bernama, sektor perladangan mencatatkan keuntungan yang lebih tinggi sebanyak RM1.60 bilion untuk TK2021, terutamanya disebabkan oleh harga purata MSM yang lebih tinggi direalisasikan sebanyak RM3,671 satu tan berbanding RM2,675 satu tan yang dicatatkan pada tahun kewangan yang sama sebelumnya.

Secara operasi, pengeluaran buah tandan segar (BTS) menurun sebanyak tujuh peratus kepada 3.98 juta tan, sekali gus membawa kepada hasil yang lebih rendah sebanyak 15.69 tan sehektar.

Lembaga pengarah telah bersetuju untuk mengisytiharkan pembayaran dividen akhir sebanyak 8.0 sen sesaham di bawah sistem satu peringkat yang dianggarkan berjumlah RM291.85 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2021 dan perlu dibayar pada 31 Mac 2022.

Melangkah ke hadapan, sektor perladangan kumpulan itu dijangka mengekalkan prestasinya sejajar dengan harga MSM yang tinggi, yang kini didagangkan melebihi RM5,000 satu tan.

Untuk rekod, kerajaan ketika dipimpin Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 7 Julai 2021 lalu bersetuju melupuskan sebahagian pinjaman peneroka Felda berjumlah RM8.3 bilion melalui inisiatif pelarasan pinjaman peneroka secara bersyarat terutama bagi generasi awal.

Beliau berkata, ia merangkumi pelarasan sebahagian baki pinjaman tanam semula sehingga 31 Disember 2019, berjumlah RM8 bilion, yang akan memberi manfaat kepada 92,441 peneroka.

Selain itu katanya, ia juga merangkumi pelarasan sebahagian baki tunggakan pinjaman baja sehingga 31 Disember 2019, berjumlah RM168 juta, membabitkan 52,180 peneroka.

Muhyiddin berkata, ia juga meliputi pelarasan sepenuhnya baki pinjaman saham FGV Holdings Bhd sehingga 7 Julai 2021, bernilai RM78 juta, membabitkan 38,043 peneroka.

BERITA BERKAIT
POPULAR