
Timbalan Speaker Parlimen Datuk Rashid Hasnon hari ini, 26 Julai 2022, menggantung Ahli Parlimen Pasir Salak Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman selama dua hari.
Ahli Parlimen (MP) Pasir Salak Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman digantung daripada hadir di sidang Dewan Rakyat selama dua hari susulan dakwaan mengeluarkan kata-kata kesat dan lucah pada 20 Julai lalu.
Keputusan itu diumumkan Timbalan Speaker Parlimen Datuk Rashid Hasnon, hari ini.
Tajuddin sebelum itu didakwa membidas MP pembangkang minggu lalu, dengan beliau dilaporkan menyifatkan beberapa MP wanita tidak senonoh.
Insiden itu tercetus apabila Tajuddin menuduh beberapa MP pembangkang sengaja menghasut dan memprovokasi rakan sejawatan mereka termasuk Speaker semasa perbahasan.
Tajuddin bagaimanapun menafikan mengeluarkan kata-kata makian terhadap MP pembangkang.
Sebelum ini, Rashid menerima surat daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun, memintanya mengendalikan isu berkenaan.
“Merujuk pada cadangan saya pada ketika (insiden) itu iaitu menulis surat kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, surat sudah dihantar dan dan saya juga menerima surat itu kerana Yang Dipertua minta saya kendalikannya.
“Saya baru terima surat itu dan kini dalam proses. Sebahagian saksi telah saya aturkan pertemuan dengan mereka.
“Saya akan buat rumusan keseluruhan (selepas selesai proses siasatan) dan berikan jawapannya dalam minggu ini,” kata Rashid.