Undi18: Beri masa kepada SPR, kata menteri undang-undang

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) perlu melalui pelbagai prosedur, termasuk berurusan dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sebelum dapat melaksanakan program layak mengundi pada usia 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik.

Oleh itu, semua pihak diminta bertenang dan memberi ruang kepada SPR untuk melaksanakannya, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Katanya, bukan mudah untuk melaksanakan undi 18 kerana banyak perkara yang perlu diambil kira, temasuk alamat yang perlu diuruskan dengan JPN.

“Selagi tak selesai alamat lengkap takut ada yang tidak boleh mengundi sebab tak tahu nak mengundi kat mana. Berdasarkan alamat dalam kad pengenalan, SPR akan menentukan di mana dia (pengundi) akan mengundi, Dewan Undangan Negeri (DUN) mana, Parlimen mana,” katanya kepada pemberita selepas Program Malaysia Prihatin di Maktab Rendah Sains MARA Pendang, Kedah, hari ini.

Beliau berkata, SPR adalah satu badan bebas yang tidak terikat dengan kerajaan, justeru, setiap keputusan yang dibuat tidak menyebelahi mana-mana pihak.

Takiyuddin berkata, ketika isu undi 18 mula dibangkitkan, pada masa itu tempoh mengundi masih jauh dan SPR mungkin menjangkakan mereka ada masa yang cukup untuk melaksanakannya.

“Jadi sekarang ada dua tahun lagi… Bagi kerajaan Perikatan Nasional (PN), perdana menteri dah jelaskan kerajaan tidak antiundi 18. Kami dulu pembangkang, kami pun sokong undi 18, tapi dengan syarat pendaftaran mestilah secara automatik, kalau tidak jumlah individu layak mengundi tidak mendaftar akan bertambah sebab umur 21 pun empat juta tak mendaftar,” katanya.

Khamis lalu. Pengerusi SPR Datuk Abdul Ghani Salleh dilaporkan berkata, pendaftaran pemilih automatik dan kelayakan mengundi pada usia 18 tahun dijangka hanya mampu dilaksanakan selepas 1 September 2022.