Undi percaya terhadap PM baharu perlu disegerakan, kata Ku Li

Undi percaya perlu disegerakan terhadap Perdana Menteri (PM) baharu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebaik sidang Parlimen bermula 6 September ini, gesa veteran UMNO Tengku Razaleigh Hamzah.

Ahli Parlimen Gua Musang itu berkata langkah tersebut perlu bagi memastikan keabsahan Ismail Sabri yang dilantik sebagai PM-9 baru-baru ini dan supaya tiada pihak yang berani menggugat kerajaan yang akan dibentuk nanti.

“Untuk memastikan keabsahan dan perdana menteri dapat ‘move on’ tanpa diganggu gugat oleh mana-mana pihak lagi selepas itu.

“Sebagaimana yang diarahkan oleh Yang di-Pertuan Agong dalam surat rasmi yang dikeluarkan oleh pihak Istana Negara sebelum perlantikan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tengku Razaleigh berbeza pendapat dengan Penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu Universiti Teknologi Mara (UiTM) Datuk Dr. Shamrahayu Ab. Aziz yang mengatakan undi percaya bukan untuk memberikan pengesahan kepada perkenan Agong.

“Susah hendak terima pandangan ini oleh sebab angkat sumpah jawatan perdana menteri, walaupun merupakan perkenan Agong untuk satu ketika.

“Sekiranya pengundian berlaku, percaya atau tidak percaya dua atau tiga minggu selepas angkat sumpah dalam keadaan di mana sokongan kepada perdana menteri dan kerajaan sudah berubah dan telah mengalami kekalahan, jelas sekali perdana menteri dan kabinet itu mesti berundur kerana sudah ditolak oleh Dewan Rakyat,” katanya lagi.

Istana Negara pada 18 Ogos dalam satu kenyataan menjelaskan Yang di-Pertuan Agong bertitah secara khusus bahawa selepas dilantik, PM baharu hendaklah secepat mungkin mengemukakan usul undi percaya di Dewan Rakyat untuk membuktikan dirinya mendapat kepercayaan majoriti ahli parlimen.

Pada Sabtu, Naib Presiden UMNO tersebut mengangkat sumpah sebagai PM-9 menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin melepaskan jawatan sebagai PM selepas hilang majoriti apabila 15 Ahli Parlimen (MP) UMNO termasuk Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menarik sokongan terhadapnya.

Percaturan itu menyaksikan Ismail Sabri diangkat sebagai PM bagi memimpin kerajaan.

BERITA BERKAIT
POPULAR