Undi awal PRN Johor: Muhyiddin pesan pilih integriti, cekap, prihatin

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berpesan kepada pengundi awal Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor hari ini, supaya menjalankan tanggungjawab membentuk sebuah kerajaan yang berintegriti, cekap dan prihatin.

Dalam ucapannya yang disiarkan menerusi Facebook beliau malam tadi, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata PRN itu amat penting untuk masa depan dan pembangunan negeri Johor pada masa-masa yang akan datang.

Sehubungan itu beliau berharap dan merayu semua yang layak dan telah mendaftar sebagai pemilih untuk keluar beramai-ramai bagi menunaikan tanggungjawab sebagai pemilih.

“Esok (hari ini) adalah hari mengundi untuk pengundi awal dalam pilihan raya negeri Johor. Pastinya ini adalah pilihan raya yang amat penting dan oleh sebab itu saya merayu supaya semua yang ada dan daftar pemilih untuk mengundi awal besok akan keluar beramai-ramai untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pemilih untuk mengundi.

“Insya-Allah dengan undi itu akan dapat nanti terbentuk sebuah kerajaan yang baik untuk negeri Johor. Pastinya yang penting bagi saya ialah semua pengundi menunaikan tanggungjawab ini untuk nantinya berupaya membentuk sebuah kerajaan yang berintegriti… kerajaan yang cekap dan kerajaan yang prihatin untuk negeri Johor,” katanya.

Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri berkata tiga perkara itu juga antara yang dijanjikan ketika ikrar oleh calon-calon PN kepada rakyat Johor dan demi bangsa Johor.

Katanya di dalam ikrar itu terkandung beberapa perkara utama yang akan PN berikan keutamaan dan perhatian bagi membangunkan Johor supaya menjadi sebuah negeri yang termaju di Malaysia.

“Rakyat dapat hidup dalam keadaan yang lebih aman, sejahtera dalam keadaan pendapatan yang lebih baik dan hidup yang lebih selesa.

“Sebab itulah saya merayu agar semua pemilih yang akan hadir besok ke pusat pengundian akan keluar beramai-ramai untuk menentukan supaya peratusan pengundi yang akan keluar ini akan menentukan keputusan yang lebih baik, yang demokratik untuk membentuk kerajaan Johor yang akan datang.

“Dan saya merayu supaya undilah Perikatan Nasional,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR