
Istana Kehakiman di Putrajaya yang menempatkan Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Rayuan.
Panel tujuh hakim Mahkamah Persekutuan hari ini memutuskan bahawa peruntukan di bawah enakmen antilompat Pulau Pinang adalah sah dan berperlembagaan.
Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mempengerusikan panel itu, berkata Perkara 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang tidak terbatal kerana ia selaras dengan Perkara 10 (1) (c) Perlembagaan Persekutuan.
Perkara 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang menyatakan bahawa seseorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) hendaklah mengosongkan kerusinya jika telah dipilih sebagai calon parti politik, dia meletakkan jawatan atau dipecat daripada parti atau telah dipilih selain sebagai calon parti politik, dia menyertai parti politik.
Pada 12 April tahun ini, Pesuruhjaya Kehakiman Azizan Md Arshad membenarkan permohonan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang dan Speakernya Datuk Law Choo Kiang untuk merujuk soalan kepada Mahkamah Persekutuan bagi mendengar dan memutuskan kewajaran perlembagaan negeri itu berhubung enakmen antilompat.
DUN dan speakernya mahu Mahkamah Persekutuan memutuskan persoalan sama ada Perkara 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang adalah terbatal kerana ia tidak konsisten dengan Perkara 10 (1) (c) Perlembagaan Persekutuan.
Empat Adun, Zulkifli Ibrahim (Sungai Acheh), Afif Bahardin (Seberang Jaya), Khaliq Mehtab Mohd Ishaq (Bertam) dan Zolkifly Md Lazim (Telok Bahang) telah memfailkan tiga writ saman pada 2020 terhadap DUN dan speakernya untuk mencabar usul yang diperkenalkan pada Oktober 2020 supaya empat orang itu mengosongkan kerusi dan pilihan raya kecil diadakan.