
Dari kiri Zulkifli Ibrahim (Sungai Acheh), Dr Afif Bahardin (Seberang Jaya), Khaliq Mehtab Mohd Ishaq (Bertam) dan Zolkifly Md Lazim (Telok Bahang).
Peguam bagi empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Pinang yang berdepan kemungkinan kehilangan kerusi selepas bertukar parti memberitahu Mahkamah Tinggi George Town hari ini (14 September 2022) bahawa undang-undang anti-lompat negeri itu adalah bercanggah dengan Perlembagaan.
Peguam Datuk DP Naban berkata anak guamnya mencabar undang-undang negeri kerana ia melanggar hak kebebasan bersuara mereka di bawah Perkara 10(1)A Perlembagaan Persekutuan.
“Ia melanggar kebebasan bersuara kerana jika mereka bercakap secara berbeza, mereka mungkin dipecat oleh parti mereka dan terpaksa mengosongkan kerusi mereka di bawah Perkara 14A(1) Undang-undang Tubuh Negeri Pulau Pinang,” katanya pada prosiding permohonan untuk meminda saman pemula (OS) mereka.
Beliau mewakili empat ADUN berkenaan – Zulkifli Ibrahim (Sungai Acheh); Dr Afif Bahardin (Seberang Jaya); Khaliq Mehtab Mohd Ishaq (Bertam) dan Zolkifly Md Lazim (Telok Bahang) – yang secara berasingan memfailkan tiga OS mencabar Perkara 14A(1) Perlembagaan Negeri Pulau Pinang serta menghalang kerusi mereka daripada diisytiharkan kosong.
Mereka telah menamakan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang dan Speaker DUN sebagai responden dalam saman itu.
Memetik laporan MalayMail, Naban berhujah bahawa pindaan yang dibangkitkan keempat-empat ADUN itu tidak remeh kerana ia berkaitan dengan hak Perlembagaan plaintif.
Beliau juga memberitahu mahkamah bahawa mereka tidak memfailkan OS baharu kerana mereka tidak mengubah saman pemula.
Pesuruhjaya Kehakiman Azizan Md Arshad mencadangkan kes itu mungkin dirujuk ke Mahkamah Persekutuan sekiranya beliau membenarkan OS dipinda kerana ia membabitkan isu Perlembagaan.
Tetapi Naban berhujah bahawa ia tidak perlu.
“Maksud yang kita bangkitkan di sini ialah ia tidak perlu dirujuk ke Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Tinggi boleh memutuskan dalam perkara ini,” katanya lagi.
Beliau berkata, pindaan kepada OS itu tidak mengubah fakta kes dan semua afidavit asal yang dikemukakan masih terpakai.
Tetapi peguam Surendra Ananth yang mewakili responden berhujah bahawa membenarkan pindaan itu akan menangguhkan pendengaran kes utama.
“Sekiranya mereka memfailkan OS baharu selepas keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengisytiharkan Perkara 14A(1) Perlembagaan Negeri sebagai sah dan selaras dengan Perkara 10(1)(c) Perlembagaan Persekutuan pada Ogos, mereka boleh memfailkan afidavit yang diperlukan untuk OS baharu, tetapi permohonan untuk meminda OS ini bermakna ia akan mengambil masa dua kali lebih lama untuk OS didengari,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa empat Adun memohon untuk meminda OS kerana mereka memerlukannya bagi perintah persetujuan itu masih berkuat kuasa.
Beliau berkata perintah persetujuan itu adalah supaya DUN tidak membentangkan usul supaya empat ADUN berkenaan mengosongkan kerusi mengikut undang-undang antilompat sehingga OS dilupuskan.
“Ini jelas merupakan gerakan taktikal untuk menangguhkan kes ini kerana mereka masih boleh membangkitkan semua isu ini dalam OS baharu,” kata Surendra.
Beliau berhujah tiada apa-apa yang menghalang empat ADUN daripada memfailkan OS baharu, tetapi jika pindaan itu dibenarkan, mereka mungkin memfailkan pindaan lain pada masa hadapan dan ia boleh menjadi kitaran yang tidak pernah berakhir.
“Jadi, anda mengatakan bahawa mereka mula-mula berkata ia menentang 10 (1)(c), sekarang mereka memasukkan 10 (1) (A) dan kemudian mereka boleh memasukkan 10 B dan seterusnya?” Azizan bertanya.
Naban menegaskan “tidak”.
“Isu yang kita bangkitkan adalah isu Perlembagaan dan kita tidak bangkitkan isu lain, kita letak dalam lingkungan isu Perlembagaan,” kata Naban lagi.
Selepas mendengar hujahan itu, Azizan berkata beliau akan menyampaikan keputusan melalui e-mel kepada kedua-dua pihak pada 6 Oktober dengan e-semakan untuk arahan lanjut berkaitan OS.
Pada penghujung 2020, empat ADUN itu memfailkan tiga saman berasingan terhadap DUN dan Speaker negeri untuk mencabar usul yang diperkenalkan pada Oktober 2020 supaya keempat-empat mereka mengosongkan kerusi dan pilihan raya kecil diadakan.
Usul itu dibentangkan di bawah Perkara 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang yang menetapkan bahawa ADUN hendaklah mengosongkan kerusinya jika telah dipilih sebagai calon parti politik, dia meletakkan jawatan atau dipecat daripada parti atau setelah dipilih selain sebagai calon parti politik, dia menyertai parti politik lain.
Undang-undang itu juga menetapkan bahawa ADUN dikehendaki mengosongkan kerusinya jika parti itu dibubarkan atau pendaftarannya dibatalkan.
Zulkifli dan Dr Afif, yang kedua-duanya dipilih pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu mewakili PKR, telah dipecat daripada PKR manakala Khaliq Mehtab dan Zolkifly di bawah Bersatu.
Dalam saman mereka terhadap DUN dan Speaker, keempat-empatnya merujuk soalan kepada Mahkamah Persekutuan sama ada Perkara 14A Perlembagaan Pulau Pinang adalah terbatal kerana tidak konsisten dengan Perkara 10(1)(c) Perlembagaan Persekutuan.