UMNO sahkan MoU dengan pembangkang tak disambung, PRU-15 awal?

Memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani antara kerajaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan pembangkang tidak akan disambung, kata UMNO hari ini.

Keputusan untuk tidak menyambung MoU tersebut yang akan berakhir pada 31 Julai diputuskan Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang diadakan petang tadi, ia sekaligus memberi isyarat pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) mungkin diadakan awal pada tahun ini juga.

“Kedudukan MoU di antara kerajaan persekutuan dan PH (Pakatan Harapan) yang berakhir 31 Julal 2022 diputuskan tidak akan diteruskan lagi,” kata Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Ahmad Maslan dalam kenyataan hari ini.

Untuk rekod, MoU tersebut ditandatangani bertujuan mengembalikan kestabilan politik setelah perubahan kerajaan pada Ogos tahun lalu.

Secara asasnya, dengan pemeteraian itu, PH tidak akan menghalang kerajaan dalam undi kritikal di Dewan Rakyat yang boleh membawa kesan terhadap survivalnya, seperti belanjawan.

Sebagai pertukaran, kerajaan akan mengusahakan sejumlah pembaharuan dan dasar yang sebelum ini dibawa PH.

Antara janji yang terkandung adalah penggubalan undang-undang Anti Lompat Parti yang sudah tertangguh beberapa kali tidak dapat dibentang di Dewan Rakyat.

Dalam pada itu, UMNO juga memutuskan untuk mengadakan perhimpunan agung khas pada 14 Mei ini bagi meminda Perlembagaan UMNO mengenai tempoh pemilihan parti.

Mesyuarat hari ini turut menggesa pembentangan Akta Anti Lompat Parti mesti diteruskan dan disokong untuk diluluskan tanpa kompromi dengan “gesaan mana-mana pihak yang cuba menggagalkan mahupun cubaan untuk mengubah maksudnya kepada bentuk perundangan yang lain.”

BERITA BERKAIT
POPULAR