UMNO, PKR berebut kerusi MKN, rakyat menderita atas bumbung

Dua parti cikgu dan anak murid – UMNO dan PKR – masing-masing dilihat berebut kerusi Pengerusi Majlis Keselamatan Negara (MKN) Selangor, tatkala penduduk di beberapa daerah, khususnya di Hulu Langat, Sepang dan Shah Alam, berdepan bencana banjir.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar dan Menteri Besar (MB) Selangor daripada PKR, Datuk Seri Amirudin Shari, masing-masing mendakwa menjadi Pengerusi MKN negeri itu.

Namun, akhirnya Amirudin ‘mengalah’ dan mengakui kesilapan ‘mengaku’ menjadi Pengerusi MKN setelah Noh memperbetulkan kenyataan MB Selangor itu.

Terbaharu, Noh kata beliau masih Pengerusi, bukan Amirudin. Ahli Parlimen (MP) Tanjung Karang itu dilantik menjadi Pengerusi MKN pada November lalu, menggantikan MP Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Pelantikan kedua-duanya sebagai Pengerusi MKN Selangor adalah amalan di luar kebiasaan di mana biasanya MB, Ketua Menteri (KM) atau Setiausaha Kerajaan Negeri, di setiap negeri menjadi pengerusi. Namun, pelantikannya adalah hak Perdana Menteri kerana isu keselamatan terletak di bawah Kerajaan Pusat.

Sama juga dengan Pengerusi MKN Negeri Sembilan, iaitu Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, manakala Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican adalah Pengerusi MKN Pulau Pinang.

MKN menggalas tanggungjawab menyelaraskan dasar-dasar berkaitan keselamatan negara dan arahan mengenai langkah-langkah keselamatan termasuk gerakan keselamatan, ketenteraman awam dan perkara-perkara melibatkan keselamatan secara langsung di seluruh negara di peringkat persekutuan, negeri dan daerah.

Mengikut rekod, bagi memastikan keselamatan negara dikendalikan secara holistik, setiap negeri di Malaysia mempunyai MKN peringkat negeri yang diketuai Setiausaha Keselamatan Negeri dan Setiausaha Keselamatan Daerah (SKD) bagi daerah-daerahnya.

‘Perebutan’ jawatan Pengerusi MKN negeri tercetus tatkala penduduk Selangor berdepan bencana banjir sejak 19 Disember lalu yang setakat ini telah mengorbankan 24 mangsa, termasuk 14 di Shah Alam – ibu negeri Selangor.

Kelewatan menghantar bantuan atas alasan ‘perlu mendapat kelulusan’ menyebabkan rakyat, khususnya mangsa banjir melemparkan kemarahan di dalam media sosial. Agensi Kerajaan Pusat dan negeri keliru kepada siapa mereka harus rujuk sebelum boleh menggerakkan bantuan – Pusat atau Negeri?

Arahan ini menerangkan mekanisme pengurusan bencana mengikut tiga (3) tahap iaitu Tahap I (peringkat Daerah), Tahap II (peringkat Negeri) dan Tahap III (peringkat Pusat).

Sehinggalah, ramai penduduk sudah berkumpul di atas bumbung, bantuan belum tiba. Komunikasi antara agensi Pusat dan Negeri tidak selaras walaupun Agensi Pengurusan Bencana Negara atau NADMA telah wujud sejak 2015.

Sebaliknya yang berlaku ialah Kerajaan Selangor di bawah PKR melepaskan tanggungjawab kepada Pusat kerana yang wajar menyegerakan bantuan adalah MKN yang dipengerusikan Noh, dan NADMA.

Manakala, Noh pula menyalahkan MB Selangor kerana tidak menggerakkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri yang dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri.

Namun, ramai yang melihat pihak berkuasa tempatan (PBT) di bawah kerajaan negeri sepatutnya lebih awal menggerakkan bantuan dan usaha menyelamat kerana agensi itu lebih memahami keadaan setempat.

Bagi sesetengah mangsa, mereka mengingatkan PBT supaya tidak hanya mengutip cukai pintu sahaja sebaliknya melepaskan tangan apabila penduduk menghadapi bencana.

Dan, akhirnya yang menanggung semua kemaslahatan itu adalah Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob apabila beliau secara terbuka mengakui ada kelemahan dalam mengendalikan bantuan kepada mangsa bencana.

BERITA BERKAIT
POPULAR