
DAP kini bekerjasama dengan UMNO.
PKR menasihati Pemuda UMNO supaya tidak membangkitkan isu yang sudah lama berlalu dan tidak perlu menggesa DAP meminta maaf, kata PKR.
Pengarah Komunikasi Pusat PKR, Lee Chean Chung yang dipetik dalam laporan Utusan Malaysia berkata, Pemuda UMNO perlu ‘move on’ (melupakan) apa sahaja isu yang pernah dihadapi antara kedua-dua parti kerana sudah menjadi rakan politik dalam kerajaan campuran.
“Melihat kepada kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid yang kata tidak perlu (DAP mohon maaf), jadi saya lihat kita harus berpandangan baik dan move on.
“Rakyat bukan mahu melihat siapa minta maaf dan tidak minta maaf, tetapi melihat prestasi.
“Tetapi, ini hak anggota perhimpunan yang mana mereka boleh suarakan apa-apa perkara yang dianggap penting.
“Namun, yang penting adalah kekuatan kita dan beri keyakinan kepada pengundi berdasarkan prestasi Kerajaan Perpaduan, itu lebih penting,” katanya dipetik laporan.
Kelmarin, media melaporkan, Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, tidak akan sesekali menarik balik kenyataan menuntut DAP membuat permohonan maaf secara terbuka kepada parti itu demi menjaga masa depan parti keramat itu.
Ia susulan ahid menyatakan, tiada keperluan buat DAP untuk membuat permohonan maaf kepada UMNO.
Menurut Zahid, perkara itu tidak sepatutnya ditimbulkan kerana segala perjanjian telah dipersetujui sewaktu fasa rundingan ketika membentuk kerajaan campuran.