Saya bentang Kertas Putih Felda, paling tepat untuk debat dengan Najib

UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak membantu langsung dalam usaha untuk menghapuskan hutang peneroka-peneroka Felda, jelas Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Sebaliknya, kata beliau penghapusan hutang peneroka Felda sebanyak RM8.3 bilion itu dilakukan Pengerusi PN sendiri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga anak bangsa Johor ketika beliau menjadi Perdana Menteri.

Azmin mengetahui secara mendalam mengenai masalah Felda setelah beliau sendiri membentangkan Kertas Putih Felda di Parlimen pada 10 April 2019 ketika menjadi Menteri Ekonomi kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Namun, menurutnya walaupun Parlimen meluluskan cadangan dibuat di dalam Kertas Putih itu, kerajaan PH ketika itu tidak berminat untuk melaksanakannya kerana ada dalam kalangan parti gabungan yang ekstrem serta tidak mahu melihat umat Islam dan bangsa Melayu berjaya.

“Dibebankan kepada peneroka-peneroka Felda, akaun pun lintang-pukang, pengurusan pun lintang-pukang, maka saya mencadangkan dalam Parlimen, ambil wang kerajaan hapuskan semua hutang peneroka Felda. Parlimen lulus.

“Tetapi malangnya walaupun kertas putih mendedahkan penyelewengan… buat laporan polis. Ada yang telah didakwa di dalam mahkamah. Bukan kerana saya tetapi kerana salah guna kuasa.

“Yang menekan peneroka Felda, maka, mereka (PH) tidak mahu membantu peneroka, walaupun Parlimen sudah lulus,” katanya pada ceramah di Kota Tinggi, malam tadi.

Azmin yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata pemimpin parti gabungan dalam PH yang tidak mahu melihat umat Islam dan orang Melayu maju dan berjaya, memberikan pelbagai alasan hingga akhirnya cadangan kertas putih itu dibakulsampahkan oleh PH.

“Sehinggalah Tan Sri Muhyiddin Yassin… alhamdulillah diberikan mandat diangkat seorang anak Johor, bangsa Johor sebagai Perdana Menteri Malaysia.

“Maka Tan Sri Muhyiddin dari Johor… anak Johor panggil saya serahkan balik kertas putih itu sekarang dia Perdana Menteri… dia buat keputusan hapuskan RM8.3 bilion hutang peneroka.

“Bukan UMNO yang membantu, bukan Barisan Nasional yang membantu. Yang membantu ialah Tan Sri Muhyiddin Yassin, mewakili Perikatan Nasional. Baharu menjadi perdana menteri… pada hari peneroka 2021, beliau mengumumkan seluruh hutang peneroka Felda dihapuskan dan ditanggung oleh kerajaan,” katanya.

Sementara itu, bercakap kepada pemberita kemudiannya, Azmin membidas bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang enggan berdebat dengan beliau berhubung isu Felda ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Sebelum ini, Azmin menawarkan diri berdebat dengan Najib mengenai masalah yang dihadapi peneroka selepas Felda Global Ventures (FGV) disenaraikan.

Najib bagaimanapun mengelak untuk berdebat dengan Azmin dan sebaliknya mahu berdebat dengan Muhyiddin.

“Kenapa Najib tak nak berdebat dengan saya? Sebab saya yang audit pengurusan Felda. Saya yang dipertanggungjawabkan menyiapkan kertas putih dan saya yang bentangkan kertas itu di Parlimen,” kata Azmin.

Untuk rekod, ketika membentangkan kertas putih itu di Parlimen pada 2019 lalu, Azmin berkata penyenaraian FGV telah menjana tunai sebanyak RM10.5 bilion, di mana Felda telah memperoleh tunai sebanyak RM6 bilion dan baki selebihnya menjadi milik FGV.

Perolehan Felda menurut Azmin, sewajarnya dimanfaatkan untuk membangun kapasiti masa depan Felda dan pembangunan ladang serta program modenisasi yang merangkumi teknologi serta R&D.

“Malangnya, RM1.4 bilion daripada hasil tunai yang diperolehi oleh Felda melalui penyenaraian FGV telah dibelanjakan untuk membuat pelaburan yang sangat meragukan melibatkan transaksi gelap (shady transactions).

“Manakala, sejumlah RM2.7 bilion pula telah digunakan untuk meraih sokongan politik menjelang Pilihan Raya Umum.

Menurutnya, kedudukan kewangan Felda bertambah tenat akibat pembaziran berterusan dengan pembelian aset pada kadar yang lebih tinggi daripada harga pasaran.

“Sebagai contoh, pembelian Eagle High daripada PT Rajawali Capital International (yang dimiliki oleh Peter Sondakh) pada kadar 96% lebih tinggi berbanding dengan harga pasaran ketika itu. Pada Mac 2019, pelaburan berjumlah RM2.3 bilion itu hanya mempunyai nilai pasaran RM500 juta.

“Dato’ Sri Najib Razak yang merupakan Menteri Kewangan pada ketika itu, terlibat dalam proses pelaburan ini dengan memberi arahan untuk menyegerakan transaksi tersebut dengan pembiayaan oleh Kementerian Kewangan.

“Tindakan ini bukan sahaja tidak bertanggungjawab bahkan bersifat jenayah. Kesan tindakan durjana ini menyebabkan Felda menanggung liabiliti yang tinggi.

“Situasi FELDA menjadi semakin serius dan parah akibat ‘corporate malfeasance’ atau kedurjanaan urus tadbir korporat,” kata Azmin dalam pembentangan itu.

BERITA BERKAIT
POPULAR